Moon akan lawat China minggu depan

SEOUL, 6 Dis – Presiden Korea Selatan Moon Jae-In akan mengadakan kunjungan ke China minggu depan bagi menghadiri rundingan mengenai Korea Utara dan isu-isu lain, kata pejabatnya hari ini, di tengah-tengah tanda-tanda tentatif pergerakan diplomatik selepas berbulan-bulan berdepan ketegangan memuncak berhubung ancaman nuklear dan peluru berpandu Pyongyang.

Pengumuman itu muncul ketika perwakilan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) peringkat tinggi mengadakan rundingan bersama seorang pegawai Korea Utara semasa lawatan luar biasa ke Pyongyang.

Jeffrey Feltman, setiausaha rendah agung PBB bagi hal ehwal politik tiba kelmarin untuk membincangkan apa yang badan dunia gambarkan sebagai ‘isu kepentingan dan kebimbangan bersama’.

Dia dan timbalan menteri luar negeri Pak Myong-Kuk membincangkan ‘kerjasama antara DPRK dan Sekretariat PBB dan penolong dari agensi-agensi PBB ke DPRK dan hal-ehwal lain yang berkaitan dengan kepentingan bersama,” lapor agensi berita KCNA Korea Utara, menggunakan akronim bagi nama rasmi negara itu.

Jeffrey Feltman (kiri) berjabat tangan dengan Pak Myong Guk (kanan) di Istana Kebudayaan Rakyat Pyongyang pada 6 Disember. – AFP

Lawatan Feltman yang pertama daripada seorang diplomat PBB dalam rangkingnya sejak 2010 – muncul kurang seminggu selepas Korea Utara menembak peluru berpandu balistik baru yang dikatakan berkemampuan untuk sampai ke Amerika Syarikat.

Membincangkan cara-cara untuk ‘menyelesaikan isu-isu nuklear Korea Utara secara aman’ akan terkandung dalam agenda Moon apabila dia bertemu Presiden Xi Jinping minggu depan, kata pejabat Moon.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Geng Shuang berkata lawatan itu akan membincangkan ‘isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkaitan’ termasuk ‘peningkatan komunikasi dan koordinasi ke atas isu nuklear semenanjung Korea’.

China telah mengusulkan yang Korea Utara menangguhkan ujian nuklear dan peluru berpandu sebagai pertukaran bagi penangguhan sementara latihan tentera Korea Selatan-AS, satu cadangan yang Washington berulang kali menolaknya. – AFP