Moore dikritik gara-gara komen seksis

Moore dikritik gara-gara komen seksis

INDIAN WELLS, 22 Mac – Bekas pengarah kejohanan Masters Terbuka BNP Paribas yang ketika ini mengendalikan Jelajah WTA, Steve Simon menyifatkan komen kritikal penyandangnya terhadap tenis wanita sebagai ‘mengecewakan dan membimbangkan.’

Sebelum pertembungan final Masters itu Ahad lalu, pengarah kejohanan, Raymond Moore menyifatkan tenis wanita perlu bergantung kepada tenis lelaki sebelum dia kemudiannya membuat permohonan maaf secara bertulis.

Simon adalah rakan rapat Moore di Indian Wells sebelum dilantik Ketua Pegawai Eksekutif WTA, musim luruh lalu.

“Sebagai pengarah kejohanan salah satu kejohanan terbesar dalam tenis profesional, komen yang dibuat oleh Raymond Moore amat mengecewakan dan membimbangkan,” kata Simon dalam kenyataan yang dikeluarkan, lewat semalam.

“WTA berdiri dengan sendirinya dan ditubuhkan dengan prinsip-prinsip kesaksamaan dan mempunyai kuasanya yang tersendiri. Saya amat berbangga dengan kesemua atlet yang berada dalam WTA yang berkerja amat keras dan berkorban setiap hari.

Moore ketika menghadiri kejohanan Indian Wells untuk menyampaikan trofi pemenang dalam peringkat akhir Kejohanan Terbuka BNP Paribas di California. – AFP
Moore ketika menghadiri kejohanan Indian Wells untuk menyampaikan trofi pemenang dalam peringkat akhir Kejohanan Terbuka BNP Paribas di California. – AFP

“Tenis secara keseluruhannya diperkayakan dengan sumbangan dan pencapaian setiap pemain, lelaki dan wanita,” katanya.

Presiden Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA), Katrina Adams turut menolak kenyataan yang dikeluarkan Moore. Adams yang bermain dalam Jelajah WTA selama 12 tahun menegaskan komitmen USTA dan Terbuka Amerika Syarikat mengenai kesaksamaan pemain.

“Tidak ada tempat dalam sukan ini untuk ideologi kuno, seksis atau kurang bijak,” kata Adams dalam satu kenyataan.

Moore, 69, yang juga bekas pemain profesional dalam Jelajah ATP dan sebelum aksi final WTA dan ATP, awal pagi Isnin lalu mengeluarkan kenyataan berbaur seksis yang mencetus kritikan ramai pihak termasuk pemain nombor satu dunia, Serena Williams.

“Jika saya pemain wanita, saya akan berlutut setiap hari dan berterima kasih kepada Tuhan kerana atas kelahiran Roger Federer dan Rafa Nadal kerana mereka yang menggerakkan sukan ini,” katanya.

Dia turut menggambarkan pemain tenis wanita sebagai ‘Tarikan fizikal dan kompetitif’ sebelum mengeluarkan kenyataan maaf. – AFP