Moovcare mampu lanjut jangka hayat penyakit barah

Moovcare mampu lanjut jangka hayat penyakit barah

CHICAGO, 7 Jun – Satu aplikasi telefon bimbit baru boleh membantu para doktor dengan lebih baik lagi untuk memberi penjagaan kepada para pesakit yang mengalami barah paru-paru yang sudah teruk, malah mungkin melanjutkan jangkaan hayat, menurut kajian yang dikemukakan di AS semalam.

Aplikasi itu, bernama Moovcare, membolehkan perhubungan pesakit dan doktor walau pada jarak jauh, dengan menggunakan pemantauan jauh untuk segera mengesan kambuh atau komplikasi.

“Pendekatan ini memperkenalkan era baru susulan yang mana para pesakit boleh memberi dan menerima maklum balas berterusan,” menurut ketua pengarang Dr Fabrice Denis, penyelidik barah di Le Mans, Perancis.

Peserta-peserta dalam kajian yang menggunakan aplikasi ini telah melaporkan kualiti hidup lebih baik dan purata bertahan 19 bulan, tujuh bulan lebih lama dari kumpulan kawalan yang menerima penjagaan perubatan standard.

“Dengan teknologi baru seperti aplikasi ini, kita boleh menjadikan perhubungan malah lebih mudah, yang hebat bagi para doktor dan malah lebih baik bagi para pesakit,” menurut Gregory Masters, pakar barah paru-paru yang tidak mengusahakan kajian itu.

Dicipta oleh Denis, seorang pakar barah paru-paru, aplikasi ini masih pada peringkat prototaip, tetapi firma Israel Sivan Innovation merancang mengeluarkannya secara komersial pada tahun 2017 pada harga yang belum ditetapkan lagi.

Sivan Innovation dan Institusi Barah Perancis Barat telah membiayai sama kajian ini yang hasilnya telah dikemukakan pada persidangan tahunan Persatuan Onkologi Klinikal Amerika (ASCO).

Para penyelidik secara rawak memilih 133 orang pesakit untuk menguji aplikas ini atau menerima penjagaan standard perubatan selepas rawatan kemoterapi, radiasi atau pun pembedahan.

Para pesakit yang menggunakan aplikasi mempunyai jadual perjumpaan perubatan sama – perjumpaan doktor dan imbasan CT setiap tiga hingga enam bulan – tetapi menggunakan aplikasi untuk menilai simptom mingguan mereka sendiri. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA