MOPS catat sejarah

MOPS catat sejarah

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 4 Feb – Mashhor Offshore Painting Services (MOPS), salah sebuah syarikat di bawah Kumpulan Syarikat-Syarikat Mashhor, telah melakarkan sejarah penting apabila mencatatkan sejumlah 6.5 juta jam tanpa sebarang Kehilangan Masa Kecederaan (LTI) selama sembilan tahun, pada 14 Januari lalu.

MOPS telah dianugerahkan kontrak pertamanya daripada Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) bagi kerja mengecat di kawasan luar pantai pada 2007, dan berjaya mengekalkan operasinya setelah diberikan kepercayaan lagi ke atas perjanjian kerja ‘Coating’ dan pemuliharaan pelantar di luar pantai pada 2015.

Sehubungan itu, sebagai pengiktirafan dasar sifar terhadap kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE), MOPS telah menganjurkan Majlis Orientasi Semula HSE dengan sokongan BSP yang berlangsung di Dewan Bandaran di sini hari ini, dengan tema ‘Anda dan Saya Akan Pulang Dengan Selamat, Anda dan Saya Adalah Bertanggungjawab Untuk Keselamatan’.

Menghadiri majlis tersebut ialah Pemilik Kontrak BSP, Peter Messey di samping para pengarah Kumpulan Syarikat-syarikat Mashhor, para pegawai dan kakitangan syarikat termasuk mereka yang bertugas di luar pantai untuk sama-sama menjayakan sesi interaktif HSE untuk meningkatkan lagi kefahaman, pengetahuan dan kesedaran tentang pentingnya keselamatan semasa bekerja.

Penyerahan Plak Anugerah Pencapaian 6.5 Juta LTI daripada Peter Messey kepada Malai Haji Abdul Hamid sambil disaksikan oleh para pengarah dan para pegawai syarikat-syarikat lain.
Penyerahan Plak Anugerah Pencapaian 6.5 Juta LTI daripada Peter Messey kepada Malai Haji Abdul Hamid sambil disaksikan oleh para pengarah dan para pegawai syarikat-syarikat lain.

Majlis turut menyaksikan penyerahan Plak Anugerah Pencapaian 6.5 Juta Jam LTI yang telah disempurnakan oleh Peter Messey kepada Pengerusi Kumpulan Syarikat-syarikat Mashhor, Malai Haji Abdul Hamid bin Haji Malai Mashhor.

Majlis diselajurkan dengan taklimat gambaran keseluruhan pencapaian HSE dan orientasi semula bertema ‘Kau dan Aku Pulang Dengan Selamat’, masing-masing disampaikan oleh Koordinator HSE MOPS, Dayang Norliza bin Haji Abdullah dan Timbalan Pengurus Kontrak MOPS, Haji Rakawih bin Haji Daud. Dalam temu bual bersama Media Permata, Dayang Norliza binti Haji Abdullah sedikit sebanyak telah menerangkan mengenai penggunaan sistem PAKAT yang telah diperkenalkan oleh Syarikat BSP Sdn Bhd sejak dulu lagi, bagi kegunaan menegur dengan cara baik ke atas sesiapa sahaja yang dirasakan boleh mendatangkan bahaya atau kemalangan semasa waktu bekerja.

Menurutnya, PAKAT yang membawa maksud (plan, access, keep record, action dan take note) berfungsi sebagai tanggungjawab bersama memeduli keselamatan dalam kalangan kumpulan pekerja.

Kira-kira 100 orang dalam kalangan pegawai dan kakitangan syarikat menghadiri majlis dan telah membuat pengisytiharan serta komitmen mereka dengan menandatangani kain rentang ikrar komitmen mereka bekerja dengan selamat.

ARTIKEL YANG SAMA