Morais tidak terlibat kes 1MDB

Morais tidak terlibat kes 1MDB

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) – Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais tidak terlibat dalam sebarang siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, hari ini.

Dalam satu kenyataan, Mohamed Apandi menjelaskan kes-kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih dikendalikan beliau semasa dalam portfolionya sekarang adalah untuk kesinambungan pendakwaan.

Katanya, beliau ingin menjelaskan bahawa pertukaran semula Morais ke Jabatan Peguam Negara dari SPRM yang berkuat kuasa 15 Julai 2014 adalah untuk menduduki semula jawatan Timbalan Pengarah Bahagian Rayuan dan Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara.

Mohamed Apandi berkata, tatkala siasatan polis ke atas kehilangan Morais masih berjalan, Jabatan Peguam Negara menggesa supaya tidak ditimbulkan spekulasi mengenai di mana dia berada.

“Jabatan Peguam Negara merujuk kepada pelbagai laporan mengenai kehilangan Anthony Kevin Morais.

“Kawan-kawan dan rakan-rakan Morais di jabatan itu berkongsi kebimbangan ahli keluarganya berhubung laporan kehilangannya. Ingatan dan doa kami bersama mereka pada masa sukar begini,” katanya.

Mohamed Apandi berkata, Jabatan Peguam Negara akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan mereka.

Morais dilaporkan hilang pada Sabtu selepas beliau kali terakhir dilihat meninggalkan kediamannya di Menara Duta di sini untuk ke tempat kerja pada pagi Jumaat.

Beliau memandu kereta Proton Perdana kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264 Q.

Morais dipinjamkan ke SPRM sebelum ditukar ke Jabatan Peguam Negara pada 15 Julai lalu.

ARTIKEL YANG SAMA