Moral cerita rakyat dapat kukuh nilai kehidupan

Moral cerita rakyat dapat kukuh nilai kehidupan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Nilai-nilai yang terdapat dalam cerita rakyat adalah amat penting dan perlu diterapkan ke dalam para pelajar generasi muda sekarang kerana bukan sahaja mereka dapat melihat kekayaan khazanah cerita rakyat itu tetapi boleh memberikan pengajaran kepada mereka.

Pelajaran atau moral yang terdapat dalam cerita-cerita rakyat boleh digunakan untuk mengukuhkan dan menanamkan nilai-nilai kehidupan dalam kalangan pelajar supaya mereka membesar dengan nilai-nilai murni bermasyarakat.

Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Rombongan Kumpulan Guru Bahasa Melayu Peringkat Rendah dari Kementerian Pendidikan Singapura, Faridah Omar ketika ditemu bual Media Permata selepas lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Beliau menjelaskan lagi bahawa dengan perkembangan teknologi yang canggih serta akses kepada maklumat di Internet, golongan generasi baru semakin kurang terdedah kepada cerita-cerita rakyat itu.

Oleh itu, pendekatan baru harus dilaksanakan untuk memastikan bahawa cerita-cerita rakyat yang penting itu tidak pupus ditelan zaman dan akan terus relevan dalam era teknologi canggih ini.

Faridah (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Hajah Sariani (kiri).
Faridah (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Hajah Sariani (kiri).

Beliau menyatakan perasaan amat kagum dengan usaha DBP untuk mengembalikan dan mengetengahkan cerita-cerita rakyat kepada generasi muda termasuk kepada pelajar-pelajar sekolah.

Mengulas mengenai lawatan kumpulan berkenaan, Faridah berkata lawatan rombongan guru-guru seramai 18 orang itu, dihasratkan untuk mengongsikan pengalaman dan melihat dengan lebih dekat lagi akan perkembangan serta pengajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah.

Terdahulu daripada itu, kehadiran rombongan di DBP telah dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Sariani binti Haji Ishak serta pegawai-pegawai dan kakitangan DBP.

Di majlis itu, Awang Suip telah memberikan penerangan dan taklimat mengenai dengan visi, misi, peranan dan pelan strategik DBP sebelum taklimat mengenai Cerita Rakyat Brunei yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Perancangan Buku, Haji Mohd Ali bin Haji Raden.

Rombongan guru-guru berkenaan akan berada di negara ini bermula hari ini hingga 31 Mei nanti di mana semasa lawatan sambil belajar itu, mereka mengadakan lawatan ke Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dan DBP, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Guru-guru berkenaan juga akan ditempatkan di empat buah sekolah rendah di mana mereka berpeluang untuk melihat sendiri mengenai suasana pembelajaran dan pengajaran di sekolah-sekolah rendah di Brunei serta turut berkongsi pengalaman dengan guru-guru di sekolah berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA