Morata sangkal dakwaan pengkritik

Morata sangkal dakwaan pengkritik

MILAN, 28 Jan – Alvaro Morata menjawab kritikan yang dilemparkan kepadanya dengan menjaringkan dua gol buat Juventus ketika kemenangan 3-0 kelab itu dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Itali menentang Inter Milan di Turin, awal pagi tadi.

Kali terakhir Morata menjaringkan gol adalah pada empat bulan lalu dan tidak lagi menjadi pemain pilihan jurulatih, Massimiliano Allegri apa lagi dengan kebangkitan pemain Argentina, Paulo Dybala.

Tetapi bekas penyerang Real Madrid itu diberi peluang untuk diturunkan dalam perlawanan Juventus menentang Inter yang lebih dikenali sebagai ‘Pertembungan d’Italia’.

Allegri memberitahu Rai Sport: “Dia bermain dengan bagus, dia menjaringkan gol pertama dengan penalti yang sukar untuk dijaringkan dan kemudian menyumbat gol keduanya.

“Malam ini, kami memberi diri kami peluang yang baik untuk menuju ke final, tetapi jangan lupa yang kami masih berbaki 90 minit perlawanan di San Siro nanti.”

Morata ketika meraikan jaringannya pada perlawanan tersebut. – Reuters
Morata ketika meraikan jaringannya pada perlawanan tersebut. – Reuters

Jurulatih Inter, Roberto Mancini merasakan mata yang diperoleh itu menggembirakan Juventus, tetapi pada masa sama, bekas pengurus Manchester City itu mengakui mereka berdepan dengan cabaran sukar untuk ke final pertama sejak menewaskan Palermo pada 2011.

“Mereka berhak dengan kemenangan itu tetapi jaringan yang diperoleh dalam perlawanan itu bukanlah mencerminkan permainan sebenar,” kata Mancini.

“Sehinggalah penalti mereka, mereka tidak mengancam kami dan Samir Handanovic tidak berjaya menyelamatkannya.

“Ia sukar bagi kami untuk mengatasi keputusan itu tetapi kami akan berlawan sepenuhnya dan memberikan yang terbaik.”

Morata berjaya melakukan jaringan penalti melepasi penjaga gol, Handanovic pada sembilan minit sebelum waktu rehat selepas Jeison Murillo menjatuhkan Juan Cuadrado dalam kotak penalti sekali gus memperoleh kad kuning pertamanya pada perlawanan itu.

Morata kembali menjaringkan gol keduanya selepas satu jam perlawanan apabila dia berjaya melepasi kawalan lemah Felipe Melo untuk menyumbat gol hasil hantaran Patrice Evra.

Morata mengakui ia adalah “malam yang penting buat saya” dan menambah: “Terima kasih kepada semua rakan sepasukan yang memberi galakan dan sokongan.”

Kesilapan Melo adalah terlalu besar buat Mancini yang terus menggantikan pemain Brazil itu – yang baru kembali daripada penggantungan tiga perlawanan – dengan Marcelo Brozovic. – AFP