Morata wira Juventus tewaskan Milan

Morata wira Juventus tewaskan Milan

MILAN, 22 Mei (AFP) – Jaringan pada masa kecederaan oleh Alvaro Morata memberikan Juventus trofi ke-11 Piala Itali selepas menewaskan AC Milan 1-0, awal pagi tadi. Kemenangan menyaksikan Juventus menjadi pasukan pertama Itali berjaya melengkapkan gelaran berganda liga dan piala untuk dua tahun berturut-turut, setahun selepas menamatkan kemarau 20 tahun untuk kembali memenangi kejuaraan sama, tahun lalu.

Kekalahan buat AC Milan bermakna juara Eropah tujuh kali itu gagal untuk layak beraksi di pentas Eropah musim depan.

Pasukan yang menamatkan saingan Serie A di tangga keenam, Sassuolo diberikan tiket terakhir ke saingan Liga Europa musim depan.

Milan memberikan segala-galanya pada perlawanan yang dijangka berat sebelah dan memihak Juve namun juara Itali itu gagal menyempurnakan beberapa peluang terbaik.

Morata yang menggantikan Hernanes pada babak kedua meledak gol kemenangan Juve pada masa tambahan perlawanan selepas 90 minit permainan berakhir tanpa jaringan.

“Saya amat gembira dengan kemenangan ini, ia adalah satu kejayaan trofi di kabinet Juve,” kata Morata yang dilaporkan amat diminati kelab-kelab di England, ketika ini.

“Kelmarin rakan saya bertanya adakah saya ingin bermain, saya kata tidak. Jadi mereka (pasukan) memberitahu saya untuk pergi dan menjaringkan gol. Jika semua final seperti ini…ia adalah satu babak yang menarik dalam bola sepak.”

ARTIKEL YANG SAMA