Moratorium peralihan MAS kepada MAB dilanjutkan

Moratorium peralihan MAS kepada MAB dilanjutkan

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Pentadbir Malaysian Airline System Bhd (MAS) menerima kelulusan daripada pihak berkepentingannya untuk melanjutkan moratorium semasa berhubung peralihan MAS kepada Malaysia Airlines Bhd (MAB) untuk tempoh 12 bulan lagi sehingga 24 Mei, 2017 bagi menyelesaikan tugas-tugas yang belum dilaksanakan.

Akta Malaysian Airline System Bhd (Pentadbiran) 2015 (Akta MAS) menyediakan peruntukan bagi penubuhan entiti baharu, Malaysia Airlines Bhd (MAB), dengan model perniagaan baharu untuk menggantikan MAS sebagai syarikat penerbangan negara, selain sebagai kaedah yang berkesan, cekap dan lancar bagi peralihan perniagaan, harta, hak, liabiliti dan hal ehwal MAS kepada MAB.

Dalam kenyataan hari ini, Pentadbir Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata memandangkan perbincangan mengenai peralihan adalah kompleks, melibatkan undang-undang dan implikasi cukai merentasi pelbagai bidang kuasa, pihak-pihak berkepentingan meluluskan untuk melanjutkan moratorium semasa. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA