Moro serah senjata usaha jalan kedamaian

Moro serah senjata usaha jalan kedamaian

SULTAN KUDARAT, Filipina, 16 Jun (AFP) – Kumpulan pemberontak terbesar Filipina menamatkan perkhidmatan hampir 150 gerila dan menyerahkan lebih 75 senjata api bagi pengunduran hari ini untuk menggalakkan parlimen meluluskan undang-undang yang dicadangkan memberikan minoriti penganut Islam pemerintahan sendiri.

Presiden Beningo Aquino telah melawat ibu pejabat Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) untuk menyaksikan penyerahan senjata tersebut, tindakan konkrit pertama oleh pertubuhan itu untuk meninggalkan pemberontakan yang telah berlarutan beberapa dekad lamanya yang telah meragut lebih 100,000 nyawa.

Aquino dan pemimpin-pemimpin kanan MILF berkata kegiatan yang sebahagian besarnya bersimbolik itu dihasratkan untuk mendorong parlimen meluluskan cadangan undang-undang yang telah lama tertangguh yang memberikan pemerintahan sendiri di selatan negara Filipina ini yang agama rasminya adalah agama Katolik, di bawah syarat perjanjian damai 2014.

“Ini adalah salah satu keputusan paling sukar yang telah kami buat setakat ini dalam tempoh 40 tahun perjuangan kami,” ketua perunding damai MILF Mohaqher Iqblal berkata dalam ucapannya.

“Kami mahu menunjukkan dunia bahawa MILF akan sentiasa mematuhi kewajipannya yang telah ditetapkan dalam perjanjian yang telah ditandatangani,” tambahnya.

Pegawai memeriksa senjata yang telah diserahkan oleh MILF dalam usaha jalan kedamaian. – AFP
Pegawai memeriksa senjata yang telah diserahkan oleh MILF dalam usaha jalan kedamaian. – AFP

Aquino yang bakal menamatkan penggal enam tahun kepimpinannya dalam tempoh setahun, mahu rang undang-undang pemerintahan sendiri Islam diluluskan kelak, bimbang pengganti beliau mungkin tidak meneruskan usaha perdamaian.

“Biarkan kami menunjukkan kepada mereka kami dapat dipercayai,” Aquino berkata dalam ucapannya.

Parlimen gagal meluluskan rang undang-undang sebelum ia berehat minggu lalu di tengah bantahan awam ke atas pembunuhan 44 orang komando polis oleh pemberontak MILF dan kumpulan bersenjata lain di pulau selatan Mindanao dalam bulan Januari.

ARTIKEL YANG SAMA