Moscow bertindak

Moscow bertindak

ANKARA 26 Nov (AFP/Agensi) – Sehari selepas Turki menembak jatuh jet pejuang Rusia, Moscow bertindak balas dengan mengerahkan dua aset tentera ke Syria, tindakan yang dijangka meningkatkan lagi ketegangan antara kedua-dua negara.

Pegawai tentera Rusia, Leftenan Jeneral Sergey Rudskoy berkata, kapal Tentera Laut Rusia kelas Moskva yang dilengkapi sistem pertahanan udara Fort, dikerah ke kawasan perairan wilayah Latakia, lokasi pesawat Su-24 terhempas selepas ditembak jatuh di ruang udara Turki.

“Setiap sasaran yang boleh memberi ancaman kepada aset Rusia akan dimusnahkan,” katanya.

Selain kapal perang, Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu berkata, sistem pertahanan udara paling canggih turut dihantar ke pangkalan udara di Syria bagi mengukuhkan pertahanan susulan insiden pesawat Su-24 ditembak jatuh oleh pesawat F-16 milik Turki.

“Sistem peluru berpandu antipesawat S-400 akan ditempatkan di Pangkalan Udara Hmeimim,” kata beliau.

Rusia mengerahkan kapal perang Moskva ke kawasan perairan berdekatan wilayah Latakia, sehari selepas pesawat Su-24 ditembak jatuh tentera udara Turki. – Agensi
Rusia mengerahkan kapal perang Moskva ke kawasan perairan berdekatan wilayah Latakia, sehari selepas pesawat Su-24 ditembak jatuh tentera udara Turki. – Agensi

Dalam kejadian semalam, seorang juruterbang pesawat terbabit disahkan terbunuh akibat ditembak kumpulan penentang kerajaan Syria dari puak Turksmen, manakala juruterbang kedua diselamatkan oleh tentera Syria.

Situasi diburukkan lagi apabila seorang anggota tentera laut Rusia yang terlibat dalam misi pencarian juruterbang berkenaan turut ditembak mati oleh kumpulan sama.

Terdahulu, Shoigu mengumumkan penggantungan kerjasama ketenteraan dengan Turki dan kerajaan Moscow melarang rakyatnya melancong ke negara tersebut berikutan faktor keselamatan, manakala Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov turut membatalkan lawatan ke Turki susulan ketegangan itu.

Susulan perkembangan tersebut, kuasa dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dianggotai Turki dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta Moscow dan Ankara meredakan ketegangan.

Presiden AS, Barack Obama menyifatkan tindakan Turki sebagai satu keperluan bagi mempertahankan kedaulatan wilayah dan ruang udaranya, tetapi memberi amaran kepada kedua-dua negara agar tidak memanjangkan konflik itu.