MOSTI perlu komersialkan produk berinovasi

MOSTI perlu komersialkan produk berinovasi

TUARAN, 27 Dis – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap lebih banyak produk berinovasi dapat dikomersialkan pada tahun hadapan.

Menterinya Datuk Wilfred Madius Tangau berkata ini kerana tahun depan diisytiharkan sebagai Tahun Pengkomersilan Produk Berinovasi 2016. “Sasaran kami sehingga 2020, kami mahu mengkomersialkan 60 produk setiap tahun.

“Tetapi oleh kerana tahun depan diisytiharkan sebagai tahun pengkomersilan produk, kami berharap banyak produk melebihi sasaran dapat dikomersialkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka MOSTI di sini hari ini. Berbeza dengan tahun ini yang mana pengkomersilan produk di peringkat MOSTI, Madius berkata program itu pada tahun depan akan diperluaskan kepada kementerian lain.

“Saya sendiri akan mempengerusikan satu jawatankuasa pelaksana di peringkat kebangsaan melibatkan semua kementerian supaya tahun depan ini akan benar-benar melibatkan seluruh rakyat dan kementerian lain untuk mengkomersialkan ciptaan rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama