MOSTI sasar komersial 360 produk menjelang 2020

MOSTI sasar komersial 360 produk menjelang 2020

PETALING JAYA, 26 Jan – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan untuk mengkomersialkan 360 produk menjelang 2020.

Menterinya Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata 2016 akan menjadi tahun pengkomersilan untuk negara.

“Pada 2015, pengkomersialan produk telah melebihi sasaran 60 produk yang ditetapkan setiap tahun, dengan 67 produk berjaya dikomersialkan,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Tinjauan Strategik Malaysia 2016 kali ke-18, di sini hari ini.

Madius Tangau menyampaikan ucaptama pada majlis anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) itu.

Mengenai persiapan Kementerian untuk penyertaan dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Madius Tangau berkata Jabatan Standard merupakan bidang yang paling relevan dengan TPPA, kerana ia memastikan produk diperakui mengikut tahap jangkaan.

Beliau berkata 12 negara anggota terbabit perlu bekerja bersama-sama supaya wujud kerjasama yang harmoni.

Mengenai geran penyelidikan tambahan, beliau berkata syarikat atau individu mungkin perlu mempunyai rakan kongsi komersial bagi memperoleh peluang yang lebih baik untuk mendapat geran berkenaan.

Acara sehari yang bertemakan ‘Menghadapi Ketidakpastian – Melangkah ke Hadapan Semasa Sukar’, turut melibatkan perbincangan meja bulat dalam pelbagai topik, termasuk usaha membangunkan negara ketika persekitaran luaran lemah. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA