Motif kreatif dari Lako Bukia

Motif kreatif dari Lako Bukia

Oleh Zanyra Dawoud

 

PEREKA fesyen kelahiran Tbilisi, Georgia, Lako Bukia telah hadir dengan koleksi pakaian terbaru yang dinamakan sebagai I SEE sempena musim panas dan luruh 2017.

Melalui koleksi terbaru ini, beliau telah mereka variasi jenis pakaian yang diinspirasikan daripada tempat kelahirannya sendiri iaitu Georgia.

Beliau telah membuat keputusan untuk kembali semula menzahirkan keindahan bandaraya yang telah ditinggalkannya selama sembilan tahun setelah mengejar cita-citanya dalam bidang fesyen di New York.

Rata-rata cetakan fabrik yang beliau tampilkan dalam rekaan busana terbaru ini adalah menampilkan latar keindahan suasana negara itu sendiri yang terdiri daripada latar bangunan peninggalan era Republik Kesatuan Soviet termasuk beberapa latar ruang dalaman bangunan yang indah.

Di samping itu terdapat beberapa pasang busana dalam koleksi I SEE ini yang ditampilkan dengan motif berbentuk geometri sehingga memberikan ilusi tiga dimensi.

Manakala pilihan padanan warna yang ditampilkan ini juga jelas menggunakan warna-warna yang agak lembut seperti biru muda, putih, kuning muda, perang yang juga turut menampilkan corak kain yang berjalur.

Antara rekaan utama yang berjaya menarik perhatian melalui koleksi Lako Bukia terbaru ini adalah gaun panjang, jumpsuit dan kot yang dihasilkan dengan cetakan motif yang menarik.

Justeru, golongan wanita yang menggayakan busana yang ditampilkan dengan cukup kreatif dalam koleksi ini pasti akan tampak sangat anggun dan lebih berkeyakinan memandangkan rata-rata rekaan yang ditampilkan jelas memperlihatkan imej moden dan segar.

ARTIKEL YANG SAMA