Motivasi Jepun pada perlawanan akhir Piala Dunia Wanita 2015

Motivasi Jepun pada perlawanan akhir Piala Dunia Wanita 2015

VANCOUVER, 5 Julai (Reuters) – Empat tahun lalu, skuad bola sepak wanita Jepun berjaya mengangkat semangat rakyat negara itu yang dipalit tragedi gempa bumi dan tsunami dengan memenangi Piala Dunia.

Esok, negara Asia pertama memenangi Piala Dunia itu akan turun mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya bertemu Amerika Syarikat (AS).

Kali ini, Jepun tidak lagi memiliki motivasi sama seperti empat tahun lalu namun bagi jurulatihnya, Norio Sasaki, kemenangan akan meletakkan mereka sebaris Jerman yang pernah menjuarai gelaran sama dua kali berturut-turut.

“Pada 2011, Jepun dilanda gempa bumi dan tsunami yang dahsyat dan rakyat Jepun amat berminat dengan Piala Dunia Wanita,” kata Sasaki kepada wartawan sebelum latihan terakhir di Stadium BC Place.

“Semua pemain bertindak balas kepada perkara itu dan bermain dengan amat gigih, menang dan memberi inspirasi kepada semua orang di Jepun.

Skuad Jepun sedang menjalani latihan di Vancouver sebagai persediaan untuk menghadapi AS dalam perlawanan akhir Piala Dunia Wanita 2015. – AFP
Skuad Jepun sedang menjalani latihan di Vancouver sebagai persediaan untuk menghadapi AS dalam perlawanan akhir Piala Dunia Wanita 2015. – AFP

“Pada 2011, saya melakukan banyak perkara untuk mengekalkan motivasi saya sentiasa tinggi, saya membuat video mengenai kemusnahan gempa bumi dan mereka menyaksikannya.

“Di kejohanan ini, saya tidak melakukannya lagi, saya tidak membuat sebarang video kerana mereka sudah mengalaminya dan setiap pemain mempunyai mentaliti yang hebat.

“Pasukan ini sudah matang dan pengalaman yang mereka miliki memberi inspirasi kepada mereka. Jika dibandingkan dengan 2011, secara mental mereka lebih kuat ketika ini,” katanya.

Begitupun, Jepun yang diberi jolokan ‘Nadeshiko’ boleh mendapat inspirasi daripada kekalahan 2-1 kepada AS pada final temasya Olimpik 2012 di London.

Selain itu, Jepun juga turut bertekad untuk memenangi Piala Dunia untuk memberi penghargaan kepada rakan sepasukan, Kozue Ando yang patah pergelangan kaki ketika perlawanan pembukaan menentang Kanada. Kecederaan terbabit memaksa Ando terlepas kesemua baki perlawanan Jepun.

“Saya fikir pasukan kami hanya akan lengkap jika dia bersama kami jadi ia satu perbezaan yang besar,” kata kapten Jepun, Aya Miyama.

“Adalah penting untuk dia berada bersama kami di sini,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA