MoU bersama SMART

MoU bersama SMART

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Fakulti Sains, Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Singapore-MIT Alliance for Research and Technology (SMART) untuk bekerjasama memudahkan pergerakan pelajar dan staf akademik bagi menggalakkan pemindahan pengetahuan dan kemahiran di antara kedua-dua institusi.

Dengan MoU itu, kedua-dua belah pihak akan bekerjasama dalam penerbitan bersama, penyelidikan usaha sama dan bidang-bidang lain, menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, hari ini.

Pada majlis penandatanganan yang diadakan pada 16 November lalu itu, UBD telah diwakili oleh Naib Presiden Penyelidikan dan Inovasi, Profesor David Koh Soo Quee, sementara itu, SMART diwakili oleh Pengarah Eksekutif SMART, John Desforge.

Menurut kenyataan itu, SMART merupakan perusahaan penyelidikan besar yang ditubuhkan oleh Massachusetts Institute of Technology (MIT) dengan perkongsian bersama National Research Foundation of Singapore pada 2007.

Ia merupakan yang pertama, setakat ini satu-satunya pusat penyelidikan MIT di luar Amerika Syarikat (AS), malah ia juga merupakan program penyelidikan antarabangsa terbesar MIT.

Dipimpin oleh ahli kanan fakulti MIT, SMART pada masa ini menjalankan penyelidikan mengenai masalah-masalah kritikal kepentingan masyarakat dan membangunkan penyelesaian inovasi menerusi empat kumpulan penyelidikan antara disiplin yang menumpukan ke atas pembangunan dan penggunaan teknologi sensor untuk mengkaji dan meramal isu-isu alam sekitar.

Selain itu, ia turut menumpukan ke atas pembangunan teknologi penjagaan kesihatan masa depan menggunakan pendekatan kejuruteraan dan sains bio, memahami interaksi hos patogen penyakit-penyakit berjangkit utama, serta membangunkan sistem pengangkutan penumpang dan muatan masa depan.

Sebelum penandatanganan MoU berkenaan, menurut kenyataan itu lagi, UBD telah bekerjasama dengan Profesor Charles Harvey dan Dr. Alex Cobb dari SMART dalam projek penyelidikan di Kawasan Perlindungan Ulu Mendaram di Daerah Belait, salah satu paya gambut paling mapan di dunia.

Dilaksanakan di bawah inisiatif Nadi Borneo dengan sokongan Pusat Nadi Borneo Brunei, matlamat utama projek itu adalah untuk memahami proses yang membawa kepada penghimpunan dan kehilangan paya.

Menurut kenyataan itu, seorang pelajar sarjana dalam bidang sains dari UBD akan bekerjasama dengan pasukan SMART bermula Januari 2016 dan lebih banyak projek akan ditawarkan kepada pelajar-pelajar UBD yang berminat dalam penyelidikan paya gambut.

ARTIKEL YANG SAMA