MoU jalinan kerjasama

MoU jalinan kerjasama

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), semalam, telah menempa satu sejarah dalam bidang institut pengajian tinggi Islam setelah memeterai lagi memorandum persefahaman (MoU) dengan dua buah universiti Republik Indonesia iaitu Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA) Semarang dan Universitas Islam Nahdlatul ‘Ulama (UNISNU) Jepara.

Hadir menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, manakala bagi pihak rombongan pula ialah Rektor UNISSULA, Dr H. Anis Malik Thoha dan UNISNU diwakili oleh Dr Sa’dullah Assa’idi.

Dengan termeterainya MoU berkenaan telah mengesahkan kerjasama antara UNISSA dengan kedua-dua universiti tersebut dalam menjalinkan kerjasama pelbagai program, yang melibatkan ahli akademik, pertukaran pelajar, serta lain-lain bidang yang boleh diperluaskan mengikut kehendak semasa, menurut kenyataan UNISSA.

Sebelum upacara penandatanganan MoU, Rektor UNISSA terlebih dahulu mengalu-alukan kedatangan delegasi UNISSULA dan UNISNU serta amat berharap bahawa dengan upacara ini merupakan pembuka jalan kebaikan untuk merealisasikan perancangan-perancangan yang akan diatur.

Gambar ramai pada akhir majlis tersebut.
Gambar ramai pada akhir majlis tersebut.

Apatah lagi, UNISSULA dan UNISNU merupakan dua buah institusi pengajian tinggi Islam yang mempunyai persamaan dengan UNISSA dari sudut kefahaman beragama malah juga menentang aliran-aliran yang mengelirukan.

Rektor UNISSULA dalam ucap balasnya pula menjelaskan bahawa UNISSULA sebagai universiti Islam terkemuka telah mencanangkan sebuah haluan besar dalam pendidikannya iaitu ‘Bismillah membangun generasi khaira ummah’. Falsafah tersebut teraspirasi daripada Al-Quran Surah Ali Imran Ayat 110.

Rektor UNISNU juga memperkenalkan ciri-ciri pendidikan yang ada dalam UNISNU iaitu menjadi universiti Islam yang unggul dalam pengembangan Seni Budaya, Cendekia, Berakhlakul Karimah serta berkeperibadian Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Oleh itu, menurut kenyataan itu lagi, UNISSA menyambut baik program-program kerjasama yang akan diadakan dalam waktu terdekat seperti seminar-seminar peringkat asia tenggara dan antarabangsa.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Rektor UNISSA, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Penolong Rektor UNISSA, Dr Arman bin Haji Asmad, serta pegawai-pegawai utama UNISSA yang terdiri daripada dekan-dekan fakulti dan pengarah-pengarah pusat.

ARTIKEL YANG SAMA