MoU KUPU SB, IAIN lebar jalinan kerjasama

Oleh Ak Zaki Kasharan & Syahmi Hassan

Gambar oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Samarinda, Indonesia telah melebarkan lagi jalinan kerjasama dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dalam satu majlis di Dewan Ta’lim, KUPU SB, petang tadi.

Hadir bagi menyaksikan penandatanganan tersebut selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud. Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Serudin bin Haji Timbang.

Pemangku Penolong Ra’es KUPU SB, Datin Dr. Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh selaku pengerusi majlis dalam ucapannya berharap agar MoU ini dapat meningkatkan lagi kerjasama dan perkongsian pengalaman di antara KUPU SB dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara-negara sahabat dan IPT tempatan.

Dalam MoU tersebut, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam pertukaran pelajar, pertukaran kakitangan, pertukaran penerbitan, program kerjasama penyelidikan dan pengajaran serta lain-lain kerjasama dari semasa ke semasa.

Dr. Haji Adanan dan Dr. H. Mukhamad Ilyasin menandatangani MoU sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama menyaksikan Dr. Haji Adanan dan Dr. H. Mukhamad Ilyasin bertukar-tukar dokumen selepas menandatangani MoU kelmarin.
Datin Dr. Hajah Noor Hira ketika menyampaikan ucapan semasa majlis menandatangani MoU kelmarin.
Dr. H. Mukhamad Ilyasin ketika menyampaikan syarahan selepas majlis penandatanganan MoU kelmarin.
Antara yang hadir pada majlis penandatanganan MoU kelmarin.

Menandatangani bagi pihak KUPU SB ialah Pemangku Ra’es, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dengan Pemangku Pendaftar, Pengiran Anak Haji Damit Baharuddin bin Pengiran Anak Safiuddin selaku saksi.

Manakala menandatangani bagi pihak IAIN Samarinda pula ialah Rektor IAIN, Dr. H. Mukhamad Ilyasin dan Pengarah Pascasarjana, Dr. Muhammad Nasir selaku saksi.

Melalui kerjasama itu, KUPU SB akan dapat memainkan peranannya dalam mempertahankan dan menyebarkan ajaran Islam melalui pendidikan perguruan agama kepada umat Islam.

Selepas majlis penandatanganan MoU, majlis diteruskan dengan syarahan umum pendidikan Islam yang disampaikan oleh Dr. H. Mukhamad Ilyasin.