MoU projek kereta api laju Julai ini – Najib

MoU projek kereta api laju Julai ini – Najib

LONDON, 17 Mei (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata memorandum persefahaman (MoU), untuk memudahkan pelaksanaan projek Kereta Api Laju (HSR), dijangka dimeterai pada Julai ini oleh Malaysia dan Singapura.

Beliau berkata projek itu telah mencetuskan keterujaan kerana ia akan memendekkan masa perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur kepada kira-kira 90 minit.

“Kami menjangka memeterai MoU dengan Singapura pada Julai. Itu adalah sasarannya,” katanya pada sesi sarapan pagi peribadi Bursa Malaysia dengan pengurus dana di Marlborough House pada Isnin.

Najib merujuk kepada pelbagai projek prasarana yang akan dilaksanakan sektor swasta termasuk Lebuh Raya Pan-Borneo, dalam usaha untuk meningkatkan ekonomi.

Sementara itu, cadangan projek landasan sejauh 350 kilometer itu akan bermula di Bandar Malaysia dan berakhir di Jurong East di Singapura, mengurangkan masa perjalanan kereta api sekarang selama lapan jam.

Perdana Menteri mendedahkan pada persidangan ‘Invest Malaysia Kuala Lumpur’ yang diadakan pada April bahawa MoU tersebut dijangka dimeterai pada pertengahan tahun ini.

Dilaporkan kerja pembinaan projek kereta api laju itu dijadualkan bermula pada 2017 dan dijangka siap menjelang 2022.