MOU rangsang transaksi perbankan

MOU rangsang transaksi perbankan

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Maybank memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kasikornbank PCL, sebuah bank komersial di Thailand, untuk merangsang transaksi perbankan dan meneroka peluang perniagaan hasil penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Maybank berkata kerjasama itu akan menawarkan perkhidmatan transaksi perbankan kepada pelanggan di Malaysia dan Thailand; membekalkan khidmat nasihat kepada pelanggan; berkongsi rujukan pelanggan bagi merangsang perniagaan untuk perdagangan dan pelaburan rentas sempadan; dan saluran bagi meneroka rangka kerja kerjasama dalam bidang perniagaan lain.

“Ekonomi ASEAN dijangka kekal berdaya tahan dan diunjur mencatat keluaran dalam negara kasar 5.2 peratus tahun ini,” kata Ketua Perbankan Global Kumpulan Maybank, Amirul Feisal Wan Zahir dalam satu kenyataan hari ini.

Maybank berkata MoU akan membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan jejak masing-masing bagi mempermudah pertumbuhan perniagaan yang mampan.

Naib Presiden Eksekutif Kasikornbank, Pipit Aneaknithi berkata kedua-dua negara berkongsi kesalinghubungan perniagaan yang besar seperti ditunjukkan olehi volum perdagangan rentas sempadan bernilai US$28 bilion, yang akan terus dipertingkat menerusi AEC.

“Pada peringkat kerajaan dengan kerajaan, terdapat banyak projek yang menyokong perubahan landskap perniagaan seperti ‘projek bandar raya getah’ di Kedah dan Songkhla, penubuhan zon ekonomi khas di Thailand serta projek jalan dan rel di sepanjang sempadan,” katanya.

Pipit berkata perkongsian itu akan membuka potensi bagi produk dan perkhidmatan inovatif AEC seperti penyelesaian ringgit/baht dan merangsang perniagaan bagi perdagangan dan pelaburan rentas sempadan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA