MoU Rapsodi ke-16 Brunei-S’pura diteruskan

MoU Rapsodi ke-16 Brunei-S’pura diteruskan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Hubungan mesra antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura terus dikukuhkan melalui pelbagai bidang kerjasama, dan salah satunya menerusi Rapsodi ke-16 yang akan berlangsung pada 26 November depan.

Rancangan hiburan berkenaan akan berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Perdana Menteri, di sini pada pukul 8:30 malam.

Perkara ini telah diumumkan dalam Sidang Media Radio Televisyen Brunei (RTB) yang berlangsung di Bangunan RTB, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Rancangan ini merupakan salah satu projek memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui RTB dan Mediacorp Singapura, yang diadakan berselang seli antara kedua-dua buah negara.

Melalui program hiburan ini, artis-artis muda dan berbakat kedua-dua buah negara akan diketengahkan, bersesuaian dengan temanya pada tahun ini ‘Muzik Merentas Sempadan’.

Sidang media Rapsodi ke-16 di Bangunan RTB Bandar Seri Begawan.
Sidang media Rapsodi ke-16 di Bangunan RTB Bandar Seri Begawan.

Penyelaras MoU berkenaan, Dayang Siti Aliza binti Haji Bagol menjelaskan program berkenaan akan diisikan dengan lima segmen yang menampilkan berbagai-bagai elemen muzik seperti K-Pop, Japanese Music, M-POP Oriental Music, Middle Eastern, British-Inspired Music, Bollywood dan Top Hits.

Menyentuh mengenai temanya, beliau berkata, persembahan membawakan konsep muzik merentasi sempadan yang akan mengetengahkan lagu-lagu Melayu yang mempunyai elemen-elemen pengaruh muzik dari negara-negara luar.

Beliau berkata, rancangan Rapsodi ini bertujuan untuk memperlihatkan perpaduan kukuh serta persefahaman erat antara kedua-dua buah negara.

Barisan artis dari kedua-dua buah negara yang akan bergading dalam rancangan Rapsodi selama satu jam 30 minit itu terdiri daripada mereka yang pernah menerbitkan album dan ‘single’ serta memenangi beberapa pertandingan di negara-negara masing-masing.

Artis-artis dari Negara Brunei Darussalam terdiri daripada Aziz Harun, Syasya Sahira, Yaniey Junaini, Rapul Rizal, Rizal Rashid, Yazeed dan Aneep.

Manakala itu, dari Republik Singapura pula ialah Aisyah Aziz, Awi Rafael, Sunny Jackson, Elfee Ismail dan Farisha.

Program hiburan ini akan disiarkan secara langsung di saluran RTB2, RTB3 HD, RTB4 International, dan juga Rangkaian Radio Nasional FM.

Mengenai tiket-tiket masuk, orang ramai boleh mendapatkannya secara percuma di Kaunter Penyambut Tetamu RTB di ibu negara pada waktu pejabat pada 21 hingga 23 November 2016.

Tiket dan tempat duduk adalah terhad dan para penonton mestilah mematuhi syarat-syarat yang dinyatakan pada tiket berkenaan.

Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Penerbit Eksekutif Rapsodi 2016/Ketua Unit Hiburan dan Infotainmen, Awang Mohd Othman bin Haji Mohd Hassan; Penerbit, Haji Zaiman bin PGH Haji Abdul Rahman dan Pegawai Perhubungan Awam, Awang Mohd Mahdi bin Haji Mohd Yassin.

ARTIKEL YANG SAMA