MoU wujud kerjasama

MoU wujud kerjasama

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM), kelmarin, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam pertukaran maklumat dan bantuan bersama dengan Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial bagi Negara-negara Islam – Pertubuhan Persidangan Islam (OIC-SESRIC) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Kebangsaan di Negara-negara Anggota Bank Pembangunan Islam (ADFIMI), yang berlangsung di Istanbul, Turki.

Menandatangani bagi pihak CIBFM ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIBFM, Dayang Suriati binti Haji Mohd Taib, manakala OIC-SESRIC diwakili oleh Ketua Pengarah, OIC-SESRIC, Musa Kulaklikaya dan ADFIMI pula oleh Setiausaha Agung ADFIMI, Nuri Birtek.

Turut hadir pada majlis yang berlangsung di Istanbul, Turki tersebut ialah Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman, para pegawai kanan dari AMBD, CIBFM, OIC-SESRIC dan ADFIMI.

Menurut kenyataan AMBD, di sini, hari ini, MoU ini bertujuan untuk mewujudkan kerjasama di antara CIBFM dan OIC-SESRIC serta ADFIMI dalam pembangunan keupayaan insan bagi industri kewangan di Negara Brunei Darussalam, khususnya dalam penganjuran persidangan, simposium dan seminar serta kursus-kursus latihan; pertukaran kajian, kertas penyelidikan dan bahan-bahan bercetak yang dihasilkan oleh kedua-dua pihak.

Pengarah Urusan AMBD setelah selesai menandatangani MoU bersama CMBT.
Pengarah Urusan AMBD setelah selesai menandatangani MoU bersama CMBT.
Dayang Suriati menandatangani bagi pihak CIBFM.
Dayang Suriati menandatangani bagi pihak CIBFM.

MoU ini juga diharap akan dapat membina hubungan strategik yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi, khususnya memberi peluang bagi CIBFM menerokai peluang pembangunan strategik jangka panjang di rantau Asia-Eropah.

CIBFM merupakan satu entiti latihan di bawah AMBD, dan sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan, matlamat CIBFM adalah untuk menjadi platform pembangunan bakat insan bagi industri kewangan di Negara Brunei Darussalam dengan menyediakan latihan profesional dalam bidang-bidang utama seperti perbankan, kewangan, insurans / takaful, pasaran modal dan kepimpinan, pengurusan serta kajian profesional.

Semasa di Turki, AMBD juga telah menandatangani MoU mengenai kerjasama dalam pertukaran maklumat dan bantuan bersama dengan Capital Markets Board of Turkey (CMBT).

Ia bertujuan untuk melindungi pelabur-pelabur serta menggalakkan integriti pasaran yang dikawal selia di kedua-dua buah negara, yang akan dilaksanakan dengan mengadakan rangka kerja kerjasama, termasuk tatacara komunikasi, peningkatan kefahaman bersama, bantuan bersama serta pertukaran maklumat berhubung regulatori dan teknikal di antara kedua-dua pihak berkuasa.

Menandatangani bagi pihak AMBD ialah Awang Yusof, manakala itu, CMBT telah diwakili oleh Pengerusi CMBT, Dr. Vahdettin Ertas.

ARTIKEL YANG SAMA