Mourinho: 10 jam pun tidak cukup

NEWCASTLE, 12 Feb – Jose Mourinho (gambar) mengakui bahawa Manchester United yang tumpul boleh sahaja bermain selama 10 jam dan gagal menjaringkan sebarang gol.

Bos United itu membuat kenyataan itu selepas menyaksikan pasukannya tewas tipis 1-0 di Newcastle semalam.

Persembahan hambar skuad kendaliannya ditewaskan oleh rembatan minit ke-65 Matt Ritchie, namun mereka dilihat sukar untuk membawa pulang satu mata menentang pasukan Liga Perdana yang bergelut itu.

United kini 16 mata di belakang pendahulu, Manchester City selepas kekalahan kedua mereka dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana.

“Kesimpulan saya adalah kami boleh sahaja bermain selama 10 jam dan gagal menjaringkan satu gol pun.

“Newcastle bermain dengan penuh semangat dan mempertahankan pendahuluan dengan nyawa mereka.

“Mereka memanfaatkan kesilapan pertahanan kami dan menjaringkan gol melalui satu sepakan percuma.

“Mereka pastinya rasa sangat gembira selepas memberikan segala-galanya.”

Gol Ritchie hadir selepas Newcastle dihadiahkan sepakan percuma selepas Chris Smalling sengaja merebahkan diri dalam kawasan sendiri.

Tetapi Mourinho tidak begitu kritikal mengenai kesilapan pertahanannya itu.

United mensia-siakan beberapa peluang yang mereka cipta, menyebabkan harapan Mourinho meraih gelaran menerima satu lagi tamparan. – AFP