Mourinho bakal ‘dihukum’ lagi?

Mourinho bakal ‘dihukum’ lagi?

LONDON, 26 Okt (AFP) – Beberapa hari lagi, pengurus Chelsea, Jose Mourinho akan mendapat tahu sama ada beliau dikenakan hukuman atau tidak selepas diarah duduk di tempat penonton ketika kekalahan 1- 2 pasukannya di West Ham United, kelmarin.

Sejak beberapa bulan lalu, Mourinho berasakan ada usaha untuk menjatuhkan diri dan pemainnya selain menganggap pegawai perlawanan tidak mempedulikan pasukannya.

Persatuan Bola Sepak Inggeris sudah mengenakan tindakan ke atas beliau kerana membuat kenyataan kepada media berhubung isu berkenaan dan Mourinho didenda £50,000 selain risiko penggantungan stadium selama 12 bulan awal bulan ini.

Penggantungan stadium itu akan hanya dikenakan sekiranya beliau melanggar peraturan E3 FA Inggeris yang menuntut pengurus supaya berkelakuan baik demi kebaikan bola sepak dan tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakkan imej sukan itu sendiri.

Jose Mourinho. – AFP
Jose Mourinho. – AFP

Mourinho bagaimanapun berkata, beliau tidak wajar dihukum kerana enggan bercakap kepada media selepas perlawanan kelmarin yang menyaksikan West Ham menang menerusi jaringan lewat permainan Andy Carroll selain insiden kad merah yang diterima pemain tengah Chelsea, Nemanja Matic.

Namun Mourinho perlu memberikan keterangan selepas pengadil Jon Moss mengarahkan beliau duduk di tempat penonton ketika rehat.

Moss akan menghantar laporan berhubung keputusannya itu kepada FA dalam tempoh sehari dua lagi.

Laporan itu antara lain menyebut Mourinho cuba memasuki bilik persalinan pengadil tanpa kebenaran dan jika benar, FA akan menjalankan siasatan terperinci.