Mourinho bebas hukuman

Mourinho bebas hukuman

LONDON, 2 Okt (AFP) – Pengurus Chelsea, Jose Mourinho tidak akan berdepan tindakan disiplin daripada Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris selepas badan induk itu membebaskannya daripada menggunakan “bahasa diskriminasi” terhadap bekas doktor kelab, Eva Carneiro.

Eva dan pakar fisio Jon Fearn dibidas oleh Mourinho kerana berlari masuk merawat Eden Hazard ketika Chelsea seri 2-2 dengan Swansea City pada minggu pembukaan musim Liga Perdana, tindakan yang menyebabkan kelab juara Inggeris itu beraksi dengan hanya sembilan pemain di padang.

Eva, 42, kemudiannya digugurkan daripada tugasan hari perlawanan bulan lalu dan sejak itu sudah meninggalkan kelab London itu.

Layanan terhadapnya mencetus banyak kritikan terhadap Mourinho, berikutan dakwaan beliau mengherdik Eva di tepi padang ketika perlawanan menentang Swansea dengan menggunakan bahasa ibundanya Portugis.

FA yang mendapatkan nasihat pakar akademik dalam bahasa Portugis, menyatakan kelmarin mereka “berpuas hati perkataan yang digunakan tidak melanggar bahasa diskriminasi di bawah peraturan FA.”

Carneiro sudah pun meninggalkan Chelsea namun kontroversi membabitkan insiden itu masih diperkatakan dengan Lembaga Pengarah Bebas dan Ketua Lembaga Penasihat FA, Heather Rabbatts menyuarakan kekecewaannya terhadap badan induk itu bagi proses disiplin kes terbabit.

Tetapi, beberapa jam selepas Rabbatts menyuarakan kekecewaannya, timbul pendedahan yang Pengerusi FA, Greg Dyke melabel Jose Mourinho sebagai “gagal dalam pertimbangan peribadi dan tingkah laku di tempat awam” selepas gagal memohon maaf kepada Eva Carneiro.

“Ada beberapa isu yang didokumenkan dengan baik sejak kebelakangan ini membabitkan kesaksamaan dan penyertaan dan permainan, isu di mana penting untuk kita menunjukkan kepimpinan dengan jelas,” kata Dyke.

“Saya rasa pengendalian kes doktor Chelsea, Eva Carneiro adalah satu contoh yang baik mengenai perkara ini. Kami menyokong kenyataan kuat Heather Rabbatts mengenai perkara itu pada awal bulan ini.

“Secara peribadi saya tidak fikir Mourinho menampilkan diri dengan baik daripada insiden ini. Dia dengan jelas melakukan kesilapan ketika perlawanan sedang hangat berlangsung dan sepatutnya berkata demikian dan memohon maaf.

ARTIKEL YANG SAMA