Mourinho berdepan dakwaan lagi

Mourinho berdepan dakwaan lagi

LONDON, 29 Nov – Bos Manchester United, Jose Mourinho, berdepan dakwaan kesalahan salah laku oleh Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) selepas diarahkan keluar padang buat kali kedua bulan ini, minggu lalu.

Pengendali kelahiran Portugal itu diarah meninggalkan padang oleh pengadil pada minit ke-27 perlawanan ketika United seri 1-1 bertemu West Ham selepas didapati menyepak botol minuman kerana tidak berpuas hati selepas pemain tengahnya, Paul Pogba dilayangkan kad kuning.

“Pertuduhan disebabkan oleh kelakuannya…beberapa kelakuan yang tidak wajar,” menurut FA menerusi satu kenyataan. “Dia (Mourinho) mempunyai tempoh sehingga 6 petang pada 1 Disember 2016 untuk menjawab pertuduhan.”

Mourinho sebelum ini turut diarah keluar padang kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil, Mark Clattenburg pada rehat babak pertama pertemuan dengan Burnley, hujung bulan lalu.

Bekas pengurus Chelsea, Real Madrid, Inter Milan dan Porto itu kemudian digantung satu perlawanan dan denda AS$71,972 dolar atas dua insiden salah laku pada Oktober lalu.

United kini menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris selepas mengumpul 20 mata daripada 13 perlawanan, ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Chelsea.

West Ham dan United sekali lagi bertembung, Khamis ini dalam perlawanan suku akhir Piala Liga. – AFP