Mourinho beri contoh buruk

Mourinho beri contoh buruk

LONDON, 7 Okt (AFP) – Sikap berterus-terang pengurus Chelsea, Jose Mourinho memberikan contoh yang buruk kepada generasi muda, kata pemain terhebat bola sepak Belanda Johan Cruyff, semalam.

Mourinho menguasai tajuk–tajuk utama beberapa minggu pembukaan musim Liga Perdana, yang mengkritik pengurus pasukan pesaing dan mencetuskan kritikan kerana mengetepikan doktor pasukan, Eva Carniero, yang meninggalkan kelab itu.

Mourinho juga didakwa dengan salah laku oleh Persekutuan Bola Sepak kerana mengkritik pengadil selepas kekalahan 3-1 di laman sendiri kepada Southampton Sabtu lalu yang menyaksikan pasukannya berada dua mata di atas zon penyingkiran.

“Apa yang saya suka mengenainya adalah dia selalu berupaya mencipta persekitaran yang bagus terhadap pemain tetapi apa yang saya tidak suka adalah dia selalu meletakkan dirinya di barisan depan,” Cruyff memberitahu televisyen British, Sky Sports News.

“Dia seharusnya berada di barisan kedua kerana dia mempunyai latar belakang (tidak pernah beraksi), di mana dia tidak pernah diceriakan oleh 100,000 orang atau diejek oleh 100,000 orang.

Mourinho dikatakan memberikan contoh buruk kepada generasi muda. – AFP
Mourinho dikatakan memberikan contoh buruk kepada generasi muda. – AFP

“Mungkin kerana kedudukan itu, mungkin kerana kepentingan dari akhbar, tetapi saya tidak rasa dia mendidik kanak–kanak untuk bermain bola sepak atau mendidik untuk kehidupan. Dia seharusnya mempunyai kelakuan yang lebih baik kerana dia akan berada dalam akhbar di seluruh dunia.”

Cruyff, bintang pasukan Belanda pada 1970-an, dan bekas jurulatih Ajax dan Barcelona, juga membuka semula permusuhan lama bersama rakan senegaranya Louis van Gaal, pengurus Manchester United.

“Dia tidak mendominasi,” kata Cruyff yang berusia 68 tahun. “Saya suka bola sepak yang dominasi. Manchester tidak beraksi seperti itu.”

Dia menambah: “Keputusan, saya rasa adalah yang kedua. Permainan adalah yang pertama. Wang penting, tetapi selalu di tempat kedua. Di England mereka beraksi dengan keadaan berbeza. Semua orang mempunyai gaya sendiri. Gabungan gaya adalah bagus.

“Perkara paling penting adalah peminat, orang ramai pulang dengan gembira. Ia adalah masa rehat mereka dan anda seharusnya memberikan mereka sesuatu untuk dinikmati.”