Mourinho bidas isteri Rafael Benitez

Mourinho bidas isteri Rafael Benitez

WASHINGTON, 30 Julai (AFP) – Pengurus Chelsea, Jose Mourinho mengecam semula komen yang dibuat oleh isteri pengendali baharu Real Madrid, Rafa Benitez selepas dia berkata suaminya sekali lagi terpaksa membersihkan kekotoran yang dilakukan oleh Mourinho.

Montserrat Seara memberitahu akhbar Sepanyol, Le Region bahawa suaminya terpaksa membentuk semula skuad selepas mengambil alih pasukan daripada pengendali Portugis itu seperti di Inter Milan, Chelsea dan terbaharu Real Madrid.

Selepas Chelsea menewaskan Barcelona 4-2 menerusi penalti penentuan selepas terikat 2-2 dalam masa penuh perlawanan, Mourinho berkata apa yang dilakukan oleh Benitez ialah mengikuti caranya membimbing skuad, kecuali di Inter Milan.

“Wanita itu sedikit keliru. Saya tidak ketawa,” kata Mourinho sambil mengukir senyuman kepada wartawan.

Pengurus Chelsea, Jose Mourinho. – AFP
Pengurus Chelsea, Jose Mourinho. – AFP

Mourinho, yang membimbing Chelsea untuk kali kedua, berkata apabila Benitez menggantikannya di Inter, “dalam tempoh enam bulan dia memusnahkan antara pasukan terbaik di Eropah ketika itu.” Pengurus dari Portugal itu turut memberi sedikit nasihat kepada Seara.

“Dia perlu memenuhkan masa lapangnya. Jika dia mengambil berat terhadap diet pemakanan suaminya sudah pasti dia tidak mempunyai masa untuk bercakap mengenai diri saya,” katanya.