Mourinho di ambang pemecatan

Mourinho di ambang pemecatan

LONDON, 7 Dis – Chelsea kemungkinan besar akan memecat Jose Mourinho tidak kira sama ada The Blues menewaskan Porto atau tidak untuk kekal bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara.

Kemenangan ke atas kelab Portugal akan membawa juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu mara ke pusingan kalah mati yang akan bermula pada Februari depan.

Apa jua keputusan di Stamford Bridge, awal pagi Khamis ini, pihak kelab akan membuat keputusan mengenai masa depan Mourinho.

Pihak pengurusan kelab seakan sudah tidak boleh bersabar apabila skuad bimbingan Mourinho terus bergelut dengan prestasi buruk dan terbaru mereka tewas kepada Bournemouth – pasukan kelapan yang menewaskan The Blues musim ini.

Jose Mourinho kini di ambang pemecatan berikutan prestasi Chelsea yang semakin menurun. - Reuters
Jose Mourinho kini di ambang pemecatan berikutan prestasi Chelsea yang semakin menurun. – Reuters

Kelab berpangkalan di London itu kini hanya dipisahkan dua mata dengan zon penyingkiran menjelang pertemuan dengan pendahulu liga, Leicester yang kini dikendalikan bekas pengurus Chelsea, Claudio Ranieri, minggu depan.

Ranieri dipecat oleh pemilik kelab, Roman Abramovich.

Situasi mengenai masa depan Mourinho meletakkan Abramovich dalam keadaan sukar untuk membuat keputusan kerana pernah memecat pengurus dari Portugal itu sebelum ini selain baru saja melanjutkan kontraknya untuk tempoh empat tahun lagi. – Agensi