Mourinho di ambang pemecatan

Mourinho di ambang pemecatan

LONDON, 2 Nov (Agensi) – Juara Liga Perdana Inggeris, Chelsea dikatakan akan memecat pengurus pasukan, Jose Mourinho pada bila-bila masa selepas pemilik kelab, Roman Abramovich bersedia untuk membayar pampasan 9.5 juta pound bagi menamatkan kontrak jurulatih dari Portugal itu lebih awal.

Kekalahan 1-3 kepada Liverpool di Stamford Bridge kelmarin meletakkan Mourinho dalam bahaya, malah menurut sumber di Portugal, jurulatih itu mungkin tidak lagi membimbing The Blues apabila mereka menerima kunjungan Dynamo Kiev dalam perlawanan Liga Juara-Juara, Rabu ini.

Mourinho yang membantu Chelsea muncul juara Liga Perdana musim lalu baru menandatangani penyambungan kontrak empat tahun pada Ogos lalu dan dia dikatakan menerima bayaran 9.6 juta pound setahun.

Menurut akhbar Britain, Daily Mirror, terdapat klausa dalam kontrak pengendali berusia 52 tahun itu, yang dia akan dibayar pampasan setahun seandainya Chelsea mahu menamatkan kontraknya sebelum ia berakhir.

Selepas mengharungi 11 perlawanan, The Blues kini menduduki tangga ke-15 liga dengan 11 mata, 14 mata ditinggalkan oleh pendahulu, Manchester City.

Sementara itu, akhbar Daily Mail pula mendakwa, krisis dalaman di Stamford Bridge semakin meruncing selepas beberapa tonggak pasukan mengakui, mereka lebih rela kalah daripada memenangi perlawanan buat Mourinho.

“Biar saya beritahu anda apa yang saya tahu tentang cerita Chelsea. Maklumat yang saya terima datang daripada tonggak skuad utama.

“Saya diberitahu, mereka sudah bosan dengan cara dia (Mourinho) mengendalikan pemain.

Mereka tidak suka dengan sikap panas barannya, malah, saya diberitahu bahawa hubungan Jose dengan Eden Hazard juga tegang.

“Seorang pemain mengeluarkan satu kenyataan yang sangat mengejutkan baru-baru ini ‘Saya lebih rela kalah daripada menang untuknya,” kata penyampai BBC Radio 5, Garry Richardson.

Chelsea sebelum ini tersingkir daripada Piala Liga selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti 4-5 kepada Stoke City. Terdahulu mereka dikalahkan West Ham 1-2.

ARTIKEL YANG SAMA