Mourinho dikecam

Mourinho dikecam

LONDON, 5 Ogos – Jose Mourinho seharusnya dihantar ke penjara kerana membuli pemain tengah Manchester United, Bastian Schweinsteiger, kata ahli kesatuan pemain bola sepak dunia, FifPro.

Mourinho berhasrat untuk menjual Schweinsteiger dan menurut laporan, pengurus itu mengarahkan bintang Jerman berkenaan menjalani latihan bersendirian dan bersama skuad simpanan.

Pemain yang memenangi Piala Dunia itu tidak disenaraikan dalam skuad United ketika aksi ujian Wayne Rooney menentang Everton, kelmarin biarpun Mourinho menggunakan 22 pemain dalam perlawanan menyaksikan keputusan berkesudahan seri tanpa jaringan.

Dejan Stefanovic yang kini peguam dan ahli FifPro dari Slovenia, berkata: “Ia adalah jelas buli. Di Slovenia, kami boleh mendakwa Mourinho dan meminta untuk dia dikenakan hukuman penalti maksimum – tiga tahun dipenjarakan.

“Ini jelas melunturkan semangat Bastian. Mourinho menunjukkan contoh yang tidak baik. Saya akan membawa perkara ini ke mahkamah yang sepatutnya.

Mourinho (kanan) dikecam kerana mensia-siakan pengalaman Schweinsteiger. – AP
Mourinho (kanan) dikecam kerana mensia-siakan pengalaman Schweinsteiger. – AP

“Dalam kes ini, kod yang digunakan jelas. Jika ada unsur pilih bulu dan gangguan, ada hukuman untuk dipenjarakan iaitu maksimum tiga tahun,” katanya.

“Schweinsteiger perlu beralih kepada Persatuan Bola Sepak Profesional dan dia hendaklah memfailkan aduan dan saya juga akan mendapatkan penalti untuk Mourinho.

“Semua pemain pasukan pertama perlu berlatih dengan jurulatih pasukan pertama di tempat yang sama dan pada masa yang sama dengan semua rakan sepasukan lain. Itu sesuatu yang patut diterapkan kepada semua kelab dan hendaklah ditulis dalam peraturan FIFA.”

Pendahulu Mourinho, Louis van Gaal menandatangani Schweinsteiger dengan perjanjian tiga tahun musim lalu, tetapi musim pertama pemain berusia 32 tahun itu telah dicemari kecederaan dan prestasi buruk.

Walaupun menderita di Manchester, Schweinsteiger masih lagi seorang tokoh yang dihormati di bekas kelabnya Bayern Munich dan pasukan kebangsaan Jerman selepas membuat 120 penampilan untuk negaranya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA