Mourinho disambut meriah

Mourinho disambut meriah

MANCHESTER, 6 Jun – Jose Mourinho menikmati sambutan meriah sejak dinamakan pengurus baru Manchester United ketika menonton perlawanan amal dari bilik VIP dalam penampilan pertamanya di stadium Old Trafford.

Hanya sembilan hari selepas dilantik secara rasmi, pengendali berusia 53 tahun itu hadir sebagai menyatakan tanda sokongan kepada UNICEF, yang menganjurkan perlawanan persahabatan bagi mengumpul derma.

Bekas pengurus Chelsea itu pada awalnya bersetuju untuk mengendalikan England yang mempertaruhkan bekas pemain, pemuzik, pelakon dan selebriti untuk menentang pasukan pilihan dunia yang dikemudi Claudio Ranieri.

Namun berikutan penghijrahannya ke United, Mourinho memutuskan untuk menolak pelawaan itu.

Sebaliknya, dia memilih menjadikan pertemuan penghargaan Wayne Rooney antara kelabnya dengan Everton pada 3 Ogos depan sebagai aksi pertamanya di Old Trafford.

Sehubungan itu, bos Sunderland, Sam Allardyce mengambil alih kedudukan terbabit dengan Mourinho sekadar melihat aksi dari bilik VIP dalam perlawanan yang memihak 3-2 kepada England.

Jose Mourinho disambut meriah oleh penyokong-penyokong setia Manchester United. - AFP
Jose Mourinho disambut meriah oleh penyokong-penyokong setia Manchester United. – AFP

“Saya minta maaf saya tidak boleh membabitkan diri malam ini (semalam), tapi saya gembira dan buat masa ini saya perlu banyak meluangkan masa untuk Manchester United,” tulis Mourinho dalam nota ringkas perlawanan itu.

Ramai penyokong menunggu di luar Old Trafford untuk menyambut ketibaan Mourinho sejurus beliau keluar daripada bas pasukan England dan kain rentang tertulis namanya dapat dilihat di dalam stadium.

Mourinho, yang dilantik bagi menggantikan Louis van Gaal dengan perjanjian selama tiga tahun, juga diberi sambutan luar biasa daripada kebanyakan penyokong yang memakai skaf terpampang nama dan mukanya.

Dalam pada itu, penyerang Sunderland Jermaine Defoe menyumbat dua gol untuk England yang membariskan pemain seperti Robbie Fowler dan Jamie Carragher, selain penyanyi terkemuka Robbie Williams.

Ronaldinho, Cafu, Jaap Stam dan Edgar Davids membintangi pasukan Pilihan Dunia, yang mana gol mereka disumbat bekas penyerang United, Dimitar Berbatov. – AFP