Mourinho enggan cakap besar

Mourinho enggan cakap besar

LEICESTER, 30 April – Pengurus Chelsea, Jose Mourinho menegaskan belum ada jaminan skuad bimbingannya akan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris sekalipun secara matematik The Blues hanya kurang satu kemenangan untuk menjuarainya.

Kelab di Barat London itu akan mengesahkan kejuaraan seandainya menewaskan Crystal Palace di laman sendiri, pada Ahad ini selepas mencatat kemenangan 3-1 menentang Leicester, awal pagi tadi.

Gol Didier Drogba, John Terry dan Ramires mengesahkan kemenangan Chelsea selepas Leicester terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Marc Albrighton.

“Saya tidak boleh menyentuh trofi itu, kami masih memerlukan dua atau tiga lagi mata,” kata Mourinho.

“Kami memerlukan tiga mata untuk benar-benar selamat. Kami semua menetapkan pada minda kami yang kami perlu cuba dan melakukannya di Stamford Bridge. Momentum itulah yang kami ada. Saya mahu membawanya ke Stamford Bridge.

“Begitupun peminat tidak boleh meraikannya lagi. Mereka hanya boleh meraikan kejayaan Piala Liga. Saya berharap mereka boleh memainkan peranan bersama kami dan memberi semangat kepada pasukan. Itulah semangat yang kami ada di dalam kem ketika ini.

“Mereka tidak gembira kerana mereka memenangi gelaran. Namun mereka gembira gembira jika memenangi satu lagi perlawanan. Kami perlu bersedia untuk bermain menentang Crystal Palace,” katanya.

Chelsea ketika ini menang empat dan seri sekali daripada lima perlawanan pada April dan berbaki empat perlawanan, Mourinho berkata gugup tidak akan menjadi masalah buat skuadnya.

“Ia sesuatu yang menakjubkan kerana April adalah bulan yang semua orang menunggu untuk melihat Chelsea tergelincir dan melepaskan mata.

“Kami beraksi dengan amat cemerlang bukan ini, cemerlang secara teknikal dengan etika berpasukan, bertahan dengan baik dan klinikal.

“Pada April, semua orang menjangkakan kami melepaskan mata bertemu Arsenal dan Man United namun pada April kami memusnahkan pencabar kami.  Saya amat gembira dan saya hanya memerlukan tiga lagi mata. Kami bekerja keras dan bijak. Ia adalah rahsia dalam pasukan ini,” kata pengurus kelahiran Portugal itu. – AFP