Mourinho fokus terhadap saingan EPL

Mourinho fokus terhadap saingan EPL

LISBON, 1 Jun – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho tidak akan menghangatkan lagi permusuhannya dengan pengurus baru Manchester City, Pep Guardiola kerana menganggap ia mampu merosakkan peluang merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Hubungan Mourinho dan Guardiola mulai keruh ketika pengendali dari Portugal itu mengemudi Real Madrid manakala rakan sejawatannya itu di Barcelona sepanjang kempen 2010-11 dan 2011-12.

“Pengalaman saya tidak membenarkan saya menjadi naif. Apa yang saya maksudkan dengan perkara itu adalah saya bersama dengan Pep selama dua tahun dalam La Liga yang mana kejua-raan itu sama ada menjadi milik saya atau dia, Real Madrid atau Barcelona,” katanya.

 

Mourinho tidak akan menghangatkan lagi permusuhannya dengan Pep Guardiola dan mula fokus akan merangkul gelaran EPL. – AFP
Mourinho tidak akan menghangatkan lagi permusuhannya dengan Pep Guardiola dan mula fokus akan merangkul gelaran EPL. – AFP

“Dalam situasi seperti itu pertarungan peribadi mampu meninggalkan kesan dan ia boleh mempengaruhi keputusan. Jika dalam EPL, saya memberi tumpuan kepadanya di Manchester City dan dia pula ke atas saya di Manchester United, pasukan lain yang akan menjuarai liga.”

Pengurus baharu United dan City itu bakal membuat perhitungan awal apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam sesi pemanas badan di Beijing, China pada 25 Julai depan.

Bagaimanapun, tugasan mencabar menanti United untuk cuba mengatasi pencapaian baik jiran tetangga itu yang menamatkan tiga kempen terakhir liga dalam kedudukan lebih atas berbanding mereka sejak pemergian bekas pengurus Alex Ferguson.

Musim lalu City di depan berdasarkan kelebihan gol untuk mengambil kedudukan keempat dan juga tiket terakhir ke Liga Juara-Juara, sekali gus meninggalkan kelab di Old Trafford itu berpuas hati dengan slot ke Liga Europa.

Mourinho berkata dia tidak boleh memberi tumpuan kepada Guardiola jika dia mahu membawa pulang trofi liga ke United buat kali pertama sejak 2013.

“Di Sepanyol Atletico (Madrid) menjuarai sekali dan Barcelona menang tiga. Di England terdapat empat pasukan berbeza dinobatkan sebagai juara dalam tempoh empat tahun terakhir. Ia membuktikan betapa liga England amat kompetitif.” – Agensi

 

ARTIKEL YANG SAMA