Mourinho gembira

Mourinho gembira

WASHINGTON, 29 Julai (Reuters) – Juara Inggeris, Chelsea memberikan yang terbaik pada saat akhir apabila gah menewaskan Barcelona 4-2 menerusi penentuan penalti pada siri jelajah pra musim di sini.

Perlawanan yang disaksikan lebih 78,000 peminat di Stadium FedEx itu berakhir 2-2 tamat masa permainan dengan penyerang Perancis, Loic Remy menyempurnakan penalti terakhir yang membawa kepada kemenangan skuad The Blues.

“Untuk perlawanan persiapan, ia menakjubkan buat kami,” kata pengurus Chelsea, Jose Mourinho kepada Fox Sports. “Ia perlawanan pra musim yang baik buat kami, saya fikir untuk kedua-dua pasukan dan juga penonton.

“Kamu tahu, ia perlawanan persahabatan namun apabila Barcelona bertemu Chelsea, kamu mahu menang. Ia bukanlah perlawanan persahabatan,” katanya.

Pemain tengah, Eden Hazard yang ditakrifkan Mourinho sebagai lebih baik daripada Cristiano Ronaldo membuka tirai jaringan buat skuad The Blues seawal minit ke-10 permainan.

Mourinho (kanan) bercakap sesuatu kepada Fabregas pada perlawanan siri jelajah pra musim menentang Barcelona di Washington semalam. – AFP
Mourinho (kanan) bercakap sesuatu kepada Fabregas pada perlawanan siri jelajah pra musim menentang Barcelona di Washington semalam. – AFP

Kedudukan kekal sehingga tamat babak pertama perlawanan sebelum juara Sepanyol itu menampilkan belang untuk meledak dua gol pada babak kedua bermula dengan jaringan Luis Suarez pada minit ke-52.

Sandro Ramirez kemudian meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-66 namun Chelsea tidak mudah melatah apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi Gary Cahill, lima minit sebelum perlawanan berakhir.

Berbanding Barcelona yang akan memulakan kempen baharu La Liga bermula 23 Ogos depan, Chelsea memiliki jadual lebih padat apabila dijadual beraksi pada perlawanan Piala Perisai Komuniti bertemu Arsenal pada Ahad ini.

Kempen Liga Perdana Inggeris pula bermula dengan perlawanan bertemu Swansea pada 8 Ogos.