Mourinho: Kami tidak merindui Cech

Mourinho: Kami tidak merindui Cech

LONDON, 11 Ogos – Jose Mourinho berkata, Chelsea tidak akan terasa kehilangan penjaga gol, Petr Cech dan pasukannya juga tetap berada di landasan tanpa Thibaut Courtois yang digantung, apabila berkunjung ke Manchester City, Ahad ini.

Mourinho sebelum ini dilapor tidak mahu melepaskan penjaga gol berusia 33 tahun itu untuk menyertai pesaingnya, Arsenal selepas 11 musim yang cemerlang bersama juara Liga Perdana Inggeris itu.

Pengurus skuad The Blues itu menyatakan kini dia gembira dengan pilihan penjaga gol Chelsea sedia ada.

“Kami tidak merindui Petr,” kata Mourinho seperti dilaporkan media British. “Kami memiliki penjaga gol bagus. Masalahnya dengan Petr bukan kerana kami merinduinya tapi kerana kami memiliki dua penjaga gol yang bagus.

“Masalah dengan Petr adalah lawan yang dihadapinya lebih baik berbanding sebelum ini.”

Cech memilih berpindah ke Arsenal selepas mendapati dirinya diletak sebagai pilihan kedua kepada Courtois, yang dipinjam daripada Atletico Madrid pada musim lalu.

Chelsea kemudian membeli pemain Stoke City, Asmir Begovic sebagai penjaga gol kedua kepada Courtois susulan perpindahan Cech itu.

“Thibaut dan Asmir adalah dua penjaga gol menakjubkan. Kelab kami berjaya mendapatkan penjaga gol tepat pada masanya dan bukan 31 Ogos (tarikh akhir perpindahan pemain),” kata Mourinho lagi.

Courtois tidak dapat beraksi di Etihad pada Ahad ini selepas dibuang padang ketika Chelsea bertemu Swansea City.

Dia dikenakan hukuman itu selepas menjatuhkan Bafetimbi Gomis, yang sekali gus memberikan lawannya itu sepakan penalti dan kemudian menyamakan kedudukan 2-2 untuk keputusan muktamad. – Reuters