Mourinho kecewa walau ceria

Mourinho kecewa walau ceria

LONDON, 17 Sept (Reuters) – Jose Mourinho ceria dengan kemampuan Chelsea mencatat kemenangan pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara, namun mengakui kecewa dengan kekalahan dialami tiga pesaingnya – Manchester United, Manchester City dan Arsenal.

The Blues yang memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan persembahan buruk selepas hanya menang satu daripada lima perlawanan, berjaya membelasah juara Israel, Maccabi Tel Aviv, 4-0, di Stamford Bridge. Skuad bimbingan Mourinho itu adalah pasukan tunggal EPL mencatat kemenangan daripada empat yang berentap musim ini dalam saingan Liga Juara-Juara.

City tewas kepada Juventus 2-1 di laman sendiri, manakala United tumbang di tangan PSV Eindhoven, 2-1, dan Arsenal pula tewas 2-1 kepada Dinamo Zagreb.

“Pada saya, ia adalah menyedihkan dan tidak baik. Saya tidak gembira dengan perkembangan ini,” kata Mourinho.

“Saya mahu City, United dan Arsenal tewas di EPL, tetapi saya tidak mahu mereka kalah dalam saingan Liga Juara-Juara. Ia tidak baik untuk kami.

“Sejak beberapa musim lalu, kelab Inggeris sukar untuk mencatat kejayaan. Pada permulaan saingan, jika anda tidak dapat menghimpun 12 mata (dengan empat kemenangan), dan sebaliknya hanya tiga, ia satu perkhabaran buruk.”

Meskipun saingan peringkat kumpulan baharu bermula, pencapaian kelab Inggeris pada saingan utama di Eropah sejak beberapa musim lalu tidak menjadi dan dijangka memberi kesan terhadap jumlah yang layak bertanding selepas ini.

England, Sepanyol dan Jerman pada masa ini mempunyai empat kelab layak bertanding pada saingan Liga Juara-Juara mengikut peraturan UEFA.

Tiada kelab Inggeris menjuarai Liga Juara-Juara sejak Chelsea kali terakhir melakukannya pada 2012, yang juga kali terakhir pasukan dari EPL mara ke peringkat final.

ARTIKEL YANG SAMA