Mourinho mahu Cech kekal

Mourinho mahu Cech kekal

LONDON, 12 Jun (Agensi) – Petr Cech akan berunding dengan Chelsea minggu depan ketika penjaga gol itu teruja untuk menetapkan di mana dia akan beraksi musim depan.

Pemain berusia 33 tahun itu berbaki semusim dalam kontraknya di Stamford Bridge, namun hanya berperanan sebagai pelapis kepada Thibaut Courtois musim lalu ketika penjaga gol Belgium itu menikmati kempen menakjubkan.

Bos Blues, Jose Mourinho menegaskan beberapa kali beliau berharap penjaga gol Republik Czech itu akan kekal dan Cech mahu menyelesaikan isu itu secepat mungkin.

“Pertama sekali saya perlu bersetuju dengan kelab apa syaratnya sebelum meninggalkan kelab,” katanya.

“Minggu depan kami akan mengadakan rundingan bersama Chelsea. Buat ketika ini, ia hanya membabitkan ejen saya. Apabila jelas dan semua berjalan lancar, kami akan memutuskannya.

“Saya percaya dengan apa saya sumbangkan kepada kelab dan apa kelab lakukan kepada saya, kami boleh menanganinya jadi semua pihak gembira.

“Saya menimbang semua pilihan secara terbuka, tidak kira negara mana sekalipun. Saya akan memutuskannya berdasarkan apa yang bagus buat saya dan keluarga. Tidak kira sama ada di England, Jerman, Perancis atau Sepanyol.

“Jika saya berpindah, saya berdepan masalah. Banyak perubahan perlu dilakukan, mencari rumah serta sekolah untuk anak-anak.

“Oleh itu, lebih cepat saya tahu apa perlu dilakukan lebih bagus. Saya boleh merancang semuanya, malah boleh berehat sebelum musim baru.”

ARTIKEL YANG SAMA