Mourinho mahu kembali sebagai jurulatih musim depan

Mourinho mahu kembali sebagai jurulatih musim depan

LONDON, 25 Feb (Reuters) – Pengurus Chelsea yang dipecat, Jose Mourinho berkata hari ini bahawa dia gembira menanti projek baharu dan lebih suka untuk menyambung karier jurulatihnya pada permulaan musim depan.

Hangat dikaitkan dengan kerusi panas di Manchester United yang kini diisi pengendali dari Belanda, Louis van Gaal, Mourinho memberitahu wartawan ketika kunjungan ke Singapura bahawa dia tidak mahu tergesa-gesa.

“Saya merindui bola sepak, dan jika saya perlu kembali esok, saya akan kembali esok tetapi saya sentiasa merasakan lebih baik untuk menunggu, tidak tergesa-gesa,” kata Mourinho yang menamatkan tugas di Chelsea pada Disember selepas melalui perlawanan yang buruk dalam temubual bersama Sky Sports. “Adalah lebih baik untuk tenang dan menanti saat yang tepat, tindakan yang tepat dan memulakan musim depan bersama kelab baharu, projek baharu mungkin perkara terbaik buat saya.”

Mourinho menepis khabar angin mengenai masa depannya, satu daripadanya oleh pengarah Inter Milan, Bedy Moratti Sabtu lalu bahawa dia “akan ke Manchester.”

“Saya membaca banyak perkara berbeza, satu hari ia berkata benar dan satu hari lagi tidak, satu hari ia mengatakan saya akan ke China, satu hari lagi mengatakan saya ke Itali, saya ke Milan, orang berkata saya akan kembali ke Inter,” katanya.

“Saya berada di sini, jadi mereka mungkin berkata saya akan bersama pasukan kebangsaan Singapura. Realitinya saya tiada kerja dan pada ketika ini saya gembira tidak mempunyai pekerjaan.”