Mourinho mohon kerja

Mourinho mohon kerja

LONDON, 24 Jan – Jose Mourinho menulis surat enam muka surat kepada Manchester United yang menyatakan kelayakannya untuk menggantikan Louis van Gaal, yang kini berdepan kemungkinan dipecat sebagai pengurus, lapor media, semalam.

The Independent mendakwa Mourinho yang berusia 52 tahun, tiada pekerjaan sejak berpisah dengan Chelsea pada Disember lalu, menggariskan secara terperinci pelan tindakan untuk memulihkan semula reputasi gergasi Old Trafford yang merosot dan terbaharu tewas 0-1 kepada Southampton.

Tindakan Mourinho dilaporkan berhubung dengan United adalah saat menarik selepas peminat di Old Trafford mencemuh pasukan mereka di luar padang selepas kekalahan terbaharu itu.

Menurut laporan itu, jurulatih kelahiran Portugal itu menggunakan surat untuk menyatakan komitmennya bagi menyesuaikan gaya pengurusan dan bagaimana dia akan merombak skuad.

Bagaimanapun ejen Jose Mourinho, Jorge Mendes menafikan laporan itu dan mengatakannya sebagai “mustahil dan tidak masuk akal” Mourinho menulis surat itu kepada Manchester United untuk menjadi pengurus seterusnya.

Jose Mourinho dikatakan membuat permohonan kerja untuk menjadi pengurus Man United menurut portal berita The Independent. - Reuters
Jose Mourinho dikatakan membuat permohonan kerja untuk menjadi pengurus Man United menurut portal berita The Independent. – Reuters

Mourinho dikaitkan dengan jawatan di United sebelum ini apabila Alex Ferguson meninggalkan kelab terbabit dan diganti oleh David Moyes pada tahun 2013.

Selain dua tempoh yang singkat di Chelsea, Mourinho juga pernah melatih Porto, Inter Milan dan Real Madrid.

Mourinho, yang merupakan salah seorang pengurus yang paling berjaya, sering dikaitkan dengan jawatan di Old Trafford sejak dia dipecat oleh Chelsea pada Disember walaupun United masih di bawah pimpinan Louis van Gaal. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA