Mourinho mula fikir cabaran musim depan

Mourinho mula fikir cabaran musim depan

LONDON, 4 Mei (AFP) – Pengurus Chelsea, Jose Mourinho percaya skuad kendaliannya yang baru saja disahkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim ini bakal berdepan cabaran hebat untuk menjamin kedudukan empat teratas musim depan.

Ia berikutan persaingan cukup kompetitif dalam saingan liga berkenaan apabila Manchester City, Manchester United, Arsenal dan Liverpool dijangka memperkuatkan pasukan masing-masing menjelang musim panas ini.

Malam tadi, Chelsea menamatkan penantian sejak kali terakhir menjuarai saingan liga pada 2010 selepas menewaskan Crystal Palace 1-0 menerusi jaringan tunggal Eden Hazard untuk mereka sah bergelar juara meskipun saingan masih berbaki tiga perlawanan.

“Kami perlu cuba menjadi sebuah pasukan yang kuat kerana jika kami bukan pasukan yang kuat, kami tiada peluang untuk menamatkan saingan di kedudukan empat teratas. Tapi pastinya sasaran utama untuk menjadi pasukan teratas di negara ini.

“Apabila kamu bersaing merebut empat teratas, kamu pastinya memiliki peluang untuk muncul juara. Jadi kami perlu menjadi sebuah pasukan yang kuat sekali lagi musim depan dan cuba menjadi pasukan terbaik,” kata Mourinho.

Pengurus Chelsea, Jose Mourinho berbincang dengan pegawai keempat perlawanan, Lee Probert. – Reuters
Pengurus Chelsea, Jose Mourinho berbincang dengan pegawai keempat perlawanan, Lee Probert. – Reuters

Pengendali dari Portugal itu kini sudah pun mengumpul tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris dalam koleksinya selepas membawa Chelsea muncul juara pada 2005 dan 2006, namun enggan membandingkan skuad terdahulu dengan skuadnya musim ini.

“Kali ini benar-benar berbeza. Saingan Liga Perdana Inggeris sentiasa berbeza, Chelsea juga berbeza dan lawan juga berbeza.

“Dalam skuad saya, kebanyakan mereka baru pertama kali menjuarai Liga Perdana Inggeris yang mana ia adalah sesuatu yang mereka perlu pelajari bagaimana untuk mendapatkannya,” jelas Mourinho kepada wartawan.

ARTIKEL YANG SAMA