Mourinho mula tugas urus United

Mourinho mula tugas urus United

MANCHESTER, 5 Julai – Jose Mourinho secara rasmi memulakan tugasnya sebagai pengurus Manchester United di kem latihan kelab itu di Carrington, semalam.

Pengendali kelahiran Portugal itu tiba di Manchester menggunakan kereta api pada malam semalam dan memaparkan rakaman video di Instagram yang menunjukkan ketibaannya di stesen Picadilly.

Dia menulis: “Saya di sini. United, kita boleh.” Mourinho tiba di Carrington bersama jurulatih penjaga gol, Silvino Louro pagi ini. Pengurus berusia 53 tahun itu dilantik sebagai bos United pada Mei lalu selepas kelab itu memecat Louis van Gaal.

Van Gaal berjaya memenangi Piala FA pada perlawanan terakhirnya bertugas sebagai pengurus namun di Liga Perdana Inggeris, Red Devils sekadar menamatkan saingan di tempat kelima musim lalu dan keempat pada musim sebelum itu.

p21-2_20160706

Bekas pengurus Chelsea itu sudah pun mula merombak skuadnya di Old Trafford bagi menghadapi musim ini dengan bekas penyerang Paris-Saint Germain, Zlatan Ibrahimovic dan pertahanan Ivory Coast, Eric Bailly menjadi pembelian terbarunya.

Perancang Borussia Dortmund dan Armenia, Henrikh Mkhitaryan juga bersetuju untuk berpindah ke United.

Mourinho dijadualkan untuk diperkenalkan secara rasmi sebagai pengurus United, esok sebelum pemainnya memulakan sesi latihan pra-musim pada hari berikutnya.

Juara Eropah tiga kali itu dijadual bertemu Dortmund dan kelab tetangga, Manchester City ketika sesi latihan pra-musim di China, bulan ini. – AFP