Mourinho percaya Blues bangkit

Mourinho percaya Blues bangkit

HAIFA, Israel, 24 Nov (AFP) – Pengurus Chelsea, Jose Mourinho percaya kelab kendaliannya akan mengambil langkah yang besar untuk mengubah nasib kelab itu musim ini andai berjaya mengesahkan tempat ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara, semalam.

Skuad bimbingan pengendali kelahiran Portugal itu membuat kunjungan ke Israel bagi pertemuan Kumpulan G menentang Maccabi Tel Aviv.

Andai kemenangan berjaya dilakar dan ditambah keputusan seri atau menang gagal dicatatkan Dynamo Kiev ketika bertemu Porto, ia sudah cukup mengesahkan juara Inggeris itu ke peringkat kalah mati.

Kejayaan itu pasti menjadi pembakar moral buat Mourinho yang ketika ini berdepan tekanan disebabkan persembahan mengecewakan Chelsea dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), ketika ini.

“Kami boleh layak esok (Rabu) dan jika kami bermain seperti yang kami mainkan baru-baru ini, saya fikir kami mempunyai peluang yang baik,” kata Mourinho.

Mourinho (tengah) mengendalikan sesi latihan di Stadium Sammy Ofer di Haifa, Israel semalam sebagai persediaan untuk menentang Maccabi dalam aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara. – AFP
Mourinho (tengah) mengendalikan sesi latihan di Stadium Sammy Ofer di Haifa, Israel semalam sebagai persediaan untuk menentang Maccabi dalam aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara. – AFP

Pada perlawanan EPL minggu lalu, Chelsea mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Norwich dengan Mourinho percaya kemenangan itu membuatkan keyakinan pemain kelab itu kembali meningkat.

“Saya gemar dengan keyakinan yang pasukan tampilkan ketika bertemu Norwich. Saya fikir pemain-pemain mendapat keyakinan mereka kembali.”

Mengulas tahap keselamatan di Israel, Mourinho berkata tiada seorang pun pemainnya bimbang untuk membuat kunjungan ke negara terbabit.

“Saya fikir cara yang terbaik untuk fokus dalam bola sepak adalah meninggalkan soalan mengenai keselamatan kepada orang yang mengetahui lebih banyak mengenai perkara seperti itu.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah dalam skuad ini, semua orang mahu datang,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA