Mourinho perlekeh Ronaldo, puji Hazard

Mourinho perlekeh Ronaldo, puji Hazard

LONDON, 29 Julai (Agensi) – Bos Chelsea, Jose Mourinho mempersoalkan kedudukan rakan senegaranya Cristiano Ronaldo sebagai pemain terbaik dunia, sebaliknya memuji aksi Eden Hazard di Stamford Bridge.

Ronaldo memenangi Ballon d’Or pada Januari lalu tetapi gagal membantu Real Madrid meraih sebarang trofi pada musim lalu. Mourinho, yang pernah bekerjasama dengan Ronaldo ketika menjadi pengurus di di Santiago Bernabeu, berkata pengiktirafan terhadap sesorang pemain bola sepak seharusnya diberikan jika dia berjaya bersama kelab atau negara.

Ditanya sama ada beliau percaya Ronaldo tidak boleh disamakan dengan bintang Barcelona, Lionel Messi sebagai salah seorang daripada dua pemain terbaik dunia, Mourinho berkata: “Saya fikir begitu. Saya tidak suka pemain atau pengurus memenangi trofi individu tanpa pasukan. Adalah jelas (perlu) bergantung kepada prestasi mereka.

“Mereka perlu memenangi beberapa gelaran, bukan? Bola sepak tanpa gelaran tiada makna.

“Messi memenangi tiga gelaran berganda bersama Barcelona. Dia memenangi pertandingan tiga tahun lepas, dia mara ke final Copa Amerika dengan Argentina. Dia mempunyai musim yang hebat untuk dia dan untuk pasukannya.

“Saya tidak mengatakan dia (Ronaldo) tidak hebat. Saya hanya mengatakan bahawa, pada pandangan peribadi saya, setiap pemain bola sepak di dunia harus memahami bahawa kejuaraan pasukan perlu didahulukan,” jelasnya.

Daam pada itu Mourinho mahu pemain terbaiknya Hazard agar lebih berhati-hati pada musim ini selepas mendapat layanan kasar daripada pemain lawan dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Beliau percaya, Hazard bertuah tidak mengalami kecederaan yang teruk pada musim lalu.

Pengurus Chelsea itu turut menggesa pengadil agar melindungi Hazard kerana pemain itu sering dikasari dalam permainan namun menolak untuk membuat aduan berhubung layanan kasar diterima bintangnya itu.

“Dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu Eden bernasib baik tidak patah kaki. Saya akan memastikan dirinya lebih dilindungi namun semua itu di luar kawalan saya.

“Biarpun dia sering dikasari namun dia kini semakin kuat, begitu juga dengan mentalnya dan dia pastinya tidak akan mudah mengalah.

“Saya dapat lihat selepas dia dikasari, dia tidak akan berguling dan terus berguling seperti pemain lain lakukan malah dia juga tidak akan meminta pengadil untuk membuat keputusan yang memihak kepadanya. Bagi saya Eden bukan pemain yang sering menagih simpati pengadil,” kata Mourinho.

ARTIKEL YANG SAMA