Mourinho puji pengorbanan Shaw

Mourinho puji pengorbanan Shaw

WIGAN, 17 Julai – Jose Mourinho memuji pemain pertahanan England, Luke Shaw apabila dia membuat kemunculan semula selepas kecederaan selama 10 bulan dalam perlawanan pertama pengurus baru Manchester United itu.

Shaw, yang patah kaki ketika perlawanan Liga Juara-Juara di PSV Eindhoven, menyertai 45 minit pertama dalam kemenangan 2-0 United itu menentang kelab Liga Kejuaraan, Wigan apabila pengurus dari Portugal itu memulakan kariernya dengan kemenangan bergaya.

“Apabila saya dapati Luke di padang latihan, ia adalah satu kejutan bagi saya kerana saya ingatkan dia belum lagi bersedia untuk berlatih tanpa sebarang had tetapi dia beraksi hebat dalam musim panas ini,” kata Mourinho.

“Dia mengorbankan cutinya. Dia bersama di Manchester dan berada dalam padang latihan setiap hari. Sudah tentu anda kehilangan sedikit ketajaman di padang dan keyakinan, yang mana ia adalah normal tetapi dia berusaha keras.

“Dia mahu bermain lebih daripada 45 minit tetapi bagi saya lebih baik ia adalah 45 minit yang selamat berbanding lebih, jadi biarlah selangkah demi selangkah.”

Luke membuat kemunculan semula selepas kecederaan selama 10 bulan dalam perlawanan pertama pengurus baharu Manchester United itu. - AFP
Luke membuat kemunculan semula selepas kecederaan selama 10 bulan dalam perlawanan pertama pengurus baharu Manchester United itu. – AFP

Shaw, 21, kelihatan tenang dan cergas, biarpun dengan kehadiran penonton yang sedikit dan pastinya mahu membuktikan kemampuan bagi disenaraikan dalam kesebelasan utama United di bawah pengurus baru itu.

“Saya tidak sabar lagi dan untuk kembali meneruskan apa yang saya lakukan tahun lalu,” kata Shaw.

“Semua orang membantu saya daripada kelab dan keluarga saya dan rakan-rakan memainkan peranan besar dalam membantu saya melaluinya, jadi terima kasih banyak-banyak kepada mereka semua.

“Saya tidak mahu berfikir terlalu banyak, saya akan cuba melakukannya apabila tiba masanya. Perkara utama adalah saya mahu melalui pra-musim dan bersedia. Setiap pra-musim adalah penting. Tetapi saya sudah 10 bulan berehat dan saya tidak sabar untuk memulakannya.”

Kehadiran Shaw adalah salah satu aspek penting dalam perlawanan persahabatan itu apabila Mourinho kehilangan 14 pemain antarabangsanya, yang diberikan cuti musim panas selepas kempen Euro 2016.

Pada aksi itu, Mourinho turut menampilkan pemain baru, Eric Bailly dan Henrikh Mkhitaryan yang bernilai hampir STG60 million (RM315.39 juta). – AFP