Mourinho rayu ‘jangan dibunuh’

SOUTHAMPTON, 18 Mei – Jose Mourinho (gambar) berkata keengganan Liga Perdana untuk membantu Manchester United membuat persiapan bagi final Liga Europa akan memaksanya memilih pemain muda menentang Crystal Palace Ahad ini.

United mengakhiri kempen liga menentang Palace di Old Trafford sebelum berdepan dengan Ajax dalam final Liga Europa di Stockholm minggu depan, satu perlawanan mesti menang bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.

Dengan tidak ada apa-apa yang perlu diperjuangkan dalam perlawanan Ahad ini bagi United ataupun Palace, yang sudah selamat dari penyingkiran, Mourinho percaya ia perlu diawalkan sehari.

“Dalam mana-mana negara di dunia, perlawanan sepatutnya hari Sabtu kerana Ahad, kami berada di tangga keenam, tidak begitu kisah, dan Crystal Palace sudah selamat,” kata pengurus United itu kepada para wartawan selepas seri 0-0 di Southampton.

“Jadi saya fikir selepas Crystal Palace menewaskan Hull City dan Hull tersingkir, dan Swansea selamat, saya fikir sejenak perlawanan perlu diadakan hari Sabtu.”

Ditanya sama ada dia telah menghantar permohonan bagi tarikh perlawanan diubah, Mourinho menjawab: “Saya tidak mahu membuang masa. Jika saya tahu bahawa saya akan kalah dalam pertempuran itu, saya tidak mahu bertempur.

“Dan saya harap anda tidak membunuh saya apabila anda melihat pasukan saya.

“Anda (wartawan) adalah orang Inggeris, anda berada di sini sejak lahir. Saya baru berada di sini, empat campur tiga, tujuh tahun. saya tidak pernah melihat pemedulian terhadap pasukan-pasukan Inggeris yang terlibat dalam kejohanan Eropah. – AFP