Mourinho: Sch...

Mourinho: Schneiderlin bakal tinggalkan Man United

MANCHESTER, 11 Jan – Pemain tengah Manchester United dari Perancis, Morgan Schneiderlin semakin dekat untuk berpindah ke Everton, menurut pengurusnya, Jose Mourinho kelmarin.

Laporan media British mendakwa United telah bersetuju untuk menjual Schneiderlin, yang menyertai kelab tersebut dari Southampton pada tahun 2015 dengan yuran perpindahan 22 pound (AS$26.8 juta).

Bercakap selepas kemenangan 2-0 dalam suku akhir pertama Piala Liga ke atas Hull City, Mourinho berkata bahawa dia telah diberitahu oleh Timbalan Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward bahawa perpindahan itu hampir selesai.

“Tidak ada butiran lanjut, tetapi sebelum perlawanan saya telah diberitahu oleh Woodward bahawa situasi hampir selesai,” kata pengurus United itu di Old Trafford.

“Jadi kemungkinan besar Morgan akan pergi ke Everton.”

Ketibaan Schneiderlin ke Everton itu nanti adalah tepat pada masanya bagi pengurus Everton Ronald Koeman, yang baru sahaja kehilangan khidmat pemain tengah Senegal, Idrissa Gueye bagi menyertai Piala Negara-Negara Afrika.

Schneiderlin, 27, hanya membuat tujuh kemunculan bagi United sejak Mourinho mengambil alih daripada Louis van Gaal sebagai pengurus pada bulan Julai tahun lepas. – AFP