Mourinho tak rai sakan

Mourinho tak rai sakan

LONDON, 5 Mei (Reuters) – Tiada larian atau tarian di dalam padang. Yang kelihatan hanya wajah serius di wajah bos Chelsea, Jose Mourinho selepas pasukannya menewaskan Crystal Palace kelmarin untuk mengesahkan trofi Liga Perdana Inggeris menjadi milik mereka.

Menang 1-0 hasil jaringan Eden Hazard pada penghujung separuh masa pertama, bermakna Mourinho menambah kejuaraan liga kali ketiga sepanjang mengendalikan skuad The Blues.

Di sebalik sikapnya yang tidak berperasaan itu, tiada kata-kata yang boleh diungkapkan selain berbangga dengan hasil kerja Mourinho apabila dia sekali lagi membuktikan bahawa dia adalah pakar dalam saingan yang dikatakannya sebagai ‘liga paling sukar di Eropah’.

“Kalau anda bekerja keras dan anda menjadi juara, anda akan berasa telah mendapat hak anda, rasa puas hati. Bagi saya, mungkin rasa istimewa kerana saya bukanlah seorang lelaki yang bijak dalam memilih sesebuah kelab dan negara.

“Saya memilih liga yang paling sukar sekali di Eropah, saya pilih kelab yang pernah membuatkan saya rasa gembira sebelum ini. Saya sangat gembira kerana memenangi semula Liga Perdana sekembali ke sini.

“Saya akan cuba sekali lagi. Apabila tiba harinya yang saya tidak berasa tertekan lagi, saya akan berhenti,” kata Mourinho yang pernah meninggalkan The Blues pada 2007 selepas berselisih faham dengan pemilik Chelsea, Roman Abramovich, namun kembali semula pada 2013.

Walaupun gelaran juara itu disambut sederhana, Mourinho berkata, kehandalan yang dipamerkan oleh pasukannya sejak awal tahun ini sudah berhasil, biarpun dikritik kerana gaya permainan mereka yang membosankan.

“Di negara saya, mereka ini dikatakan separti anjing menyalak bukit. Pada 1 Januari, apabila kami terikat mata dengan Manchester City selepas kalah teruk di Spurs… itu menjadi kekalahan terakhir kami.

“Sejak itu kami tidak pernah tewas. Seluruh pasukan berkerja keras, semua orang tahu kami berhak memilikinya (gelaran),” katanya merujuk kepada pengkritik Chelsea.

Mourinho membiarkan sambutan mereka menjadi juara kali ketiga itu kepada anak-anak buahnya sementara kakitangan Chelsea memberikan topi serta selendang kepada pemain untuk dipakai sambil menari mengelilingi padang dan diiringi lagu band popular sekitar tahun 1970-an, Madness dan lagu rasmi kelab Blue is the Colour.

ARTIKEL YANG SAMA