Mourinho tak simpan hadiah naib juara

Mourinho tak simpan hadiah naib juara

LONDON, 3 Ogos (Agensi) – “Mourinho tidak menyimpan hadiah naib juara, jadi dia membalingnya kepada penyokong Arsenal,” itu kenyataan yang dibuat oleh Chelsea menerusi akaun Twitter rasmi kelab itu sejurus berakhirnya saingan Perisai Komuniti antara skuad The Blues dengan Arsenal di Stadium Wembley malam tadi, waktu Malaysia.

Dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris itu, pasukan bimbingan Mourinho tewas 1-0.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan tindakan mengejutkan pengendali Chelsea itu memberikan medal naib juara yang diterima skuad oleh The Blues kepada penonton.

Medal naib juara yang dibaling oleh Mourinho itu berjaya disambut oleh seorang penyokong muda Arsenal. Daily Mail menyifatkan ia sebagai hadiah kenangan paling unik buat remaja lelaki itu.

Reaksi Mourinho sebelum perlawanan Piala Perisai Komuniti di Stadium Wembley sambil diperhatikan oleh Wenger. – AFP
Reaksi Mourinho sebelum perlawanan Piala Perisai Komuniti di Stadium Wembley sambil diperhatikan oleh Wenger. – AFP

Dalam komennya Mourinho berkata: “Ini medal untuk mereka yang kalah, namun ia adalah kenangan baik untuk dia,” kata pengurus berusia 52 tahun itu berhubung keputusannya memberikan hadiah sebagai naib juara itu kepada penonton.

Akhbar itu turut melaporkan jurulatih Portugis itu tidak bersalam dengan rakan sejawatannya, Arsene Wenger sebaik Arsenal selesai mengambil pingat kejuaraan mereka.

Mourinho jelas tidak gembira dengan keputusan itu, berikutan kekalahan berkenaan dilihat sebagai kegagalan pertama beliau ke atas Wenger selaku seteru utama dalam 14 pertemuan sebelum ini.