Mourinho tidak dendam Costa

Mourinho tidak dendam Costa

LONDON, 1 Dis (AFP) – Pengurus Chelsea Jose Mourinho menafikan wujud perbalahan dengan Diego Costa walaupun penyerang itu dilihat tidak gembira selepas hanya disenaraikan sebagai pemain simpanan ketika pasukannya sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang Tottenham Hotspur.

Mourinho mengaku ada perasaan tidak puas hati ketika rehat perlawanan menentang Maccabi Tel Aviv dalam kempen Liga Juara-Juara, pertengahan minggu lalu dan kelakuan Costa di White Hart Lane kelmarin membuktikan bahawa dia gagal mengawal emosinya.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu tidak menjalani sesi memanas badan hinggalah diarah berbuat demikian pada lewat permainan dan dia dilihat berang serta melontarkan pakaian latihan ke arah pengurusnya.

Tetapi Mourinho berkata, beliau tidak mahu mengambil serius kelakuan Costa itu dan menjawab: “Apabila saya menyuruh dia untuk memanaskan badan, dia akur. Saya meletakkannya bersama Ruben (Loftus-Cheek) dan Kenedy ketika sesi memanas badan.

Diego Costa dijadikan pemain simpanan ketika Chelsea menentang Totenham Hotspur. – Reuters’s
Diego Costa dijadikan pemain simpanan ketika Chelsea menentang Totenham Hotspur. – Reuters’s

“Diego boleh dianggap bernasib baik kerana dia adalah pemain terakhir yang saya letakkan di bangku simpanan. Semua yang lain pernah merasainya termasuk kapten (John Terry), (Branislav) Ivanovic, (Gary) Cahill, (Cesc) Fabregas, Pedro, (Eden) Hazard, Oscar, semuanya.

“Saya menurunkan Diego dalam setiap perlawanan. Hari ini (kelmarin) kami beranggapan bahawa ini adalah strategi terbaik.”

Costa bergelut dengan masalah hamstring musim lalu, tetapi Mourinho berkata isu itu tidak timbul kali ini.

ARTIKEL YANG SAMA